Usaha ATM Guardians untuk menyekat kebangkitan Perak Bison tidak menjadi apabila kalah lagi dalam Grand Prix Selangor, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) di Stadium Malawati, Shah Alam, sebentar tadi.
Selepas tumpas kepada Selangor Pistons semalam, ATM menurunkan Ikmal Hakimi, Nor Faizzul Razak dan Fetri Azwadi sebagai percaturan set pertama.
Dan ia tampaknya menjadi apabila anak buah kendalian Zahir Safinyi itu mendominasi set awal dengan meninggalkan Perak dengan lima mata untuk keputusan 15-10.
Namun, berbeza situasinya dalam set kedua apabila giliran Perak pula garang menerusi trio Aidil Aiman Zawawi, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan Treepong Rawangpai membuatkan ATM terkapai-kapai terpaksa mengheret perlawanan ke set penentuan berikutan keputusan tipis Perak 12-15.
Segalanya terjawab dalam set ketiga dengan Perak bagaikan mendapat suntikan semangat baru untuk meninggalkan ATM jauh 15-5 bagi kemenangan sulung Liga Premier musim ini.
Shaiful Shamsudin
Thu Sep 12 2024