Kepercayaan yang diberikan barisan kejurulatihan kepada tekong muda Sabah Mountaineers, Irwanizam Seruji, dibalas dengan aksi meyakinkan apabila membantu pasukannya menewaskan Malaysia Uni. Knights 2-0 dalam saingan CelcomDigi STL Divisyen 1, semalam.
Berusia 21 tahun, Irwanizam mengakui pengalaman beraksi dalam saingan liga berkenaan cukup bermakna buat dirinya, terutama selepas diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan di pentas kompetitif.
“Bersyukur sebab boleh menang malam ini (tadi). Pengalaman ini sangat bermakna untuk saya sebab diberikan kepercayaan oleh coach untuk bermain di liga yang sebesar ini.
“Ini pengalaman yang paling berharga untuk saya. Lepas bermain ini, saya rasa lebih yakin untuk bermain dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Sabah Mountaineers tampil dominan untuk mencatat kemenangan 15-8, 15-10 ke atas Malaysia Uni. Knights sekali gus memulakan kempen mereka dengan keputusan positif.
Bagi Irwanizam, pengalaman tersebut bukan sahaja memberikan kepuasan selepas membantu pasukan meraih kemenangan, malah menjadi suntikan keyakinan untuk menghadapi cabaran seterusnya.
Dalam perkembangan lain, jurulatih Bomba Fighters, Syazwan Salehan, mengakui pasukannya hadir ke saingan Divisyen 1 musim ini sebagai underdog meskipun menyimpan hasrat untuk kembali ke STL Premier.
Bomba Fighters merupakan naib juara STL Divisyen 1 musim lalu sebelum dinaikkan ke STL Premier, namun terpaksa kembali beraksi di Divisyen 1 selepas tersingkir pada penghujung musim.
“Kita bergerak sebagai underdog. Kita masih mengharapkan untuk naik ke atas (Premier), tetapi kita bergerak sebagai underdog sebab kita nampak semua pasukan di Divisyen 1 melakukan persiapan yang baik,” katanya.