Perak Bison bangkit daripada ketinggalan untuk memastikan kejuaraan divisyen perdana saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi
Ketika STL hangat pada kemuncaknya, semua meramalkan bahawa gelaran juara akan diraih sama ada Kuala Lumpur Thunder atau Penang Black Panther, siapa sangka Perak Bison yang akhirnya bergelar juara!
Dalam saingan minggu kelapan, perlawanan ke-88, aksi penentuan menentang KPT-MASUM Knights, semua mata memerhati aksi Perak.
Menurunkan Aidil Aiman selaku feeder, Jakkrin Tinbangbon sebagai tekong dan Noraizat Nordin sebagai killer, mereka turun dengan misi mahu menang!
Bagaimanapun, penonton di Stadium Titiwangsa disajikan dengan aksi cukup hangat apabila KPT-MASUM turut memberikan tentangan sengit, suatu ketikanya mereka terikat 8-8.
Mahu membuktikan kemampuan beraksi berdepan lawan lebih berpengalaman, KPT-MASUM terus memberikan cabaran kepada perak yang kelihatan semakin tertekan dan mata kini 18-18 sebelum melakar kejutan meraih kemenangan set pertama 21-19.
Set kedua, KPT-MASUM terus menampilkan aksi matang dan menyukarkan tugasan Perak tetapi skrip akhirnya berubah apabila Perak menang 21-16.
Di set penentuan, keadaan semakin tegang dan dramatik kerana kedua-dua pihak masih enggan mengalah.
Bagaimanapun, Perak yang lebih cemerlang membuktikan kemampuan mendahului 16-9 sebelum menoktahkan kemenangan 21-14 sekaligus memastikan mereka bergelar juara divisyen perdana.
Dalam satu lagi aksi yang berlangsung sebentar tadi, KL Thunder melakar kemenangan 2-0 ke atas ATM Guardians bagi memastikan mereka menamatkan saingan di tempat kedua.
Ammar Hakim
Sat Jul 22 2023