Penang Black Panthers mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Terengganu, Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Premier selepas menewaskan Perak Bison dalam aksi rubber set 11-15,17-16,17-15 di Stadium Tertutup Gong Badak, sebentar tadi.

Jurulatih Perak, Dzafril Anuar, membariskan barisan terbaik iaitu Kritsada Sungvung (Tekong), Aidil Aiman (Pengumpan) dan Noraizat Nordin (Perejam). Manakala, Penang Black Panthers terus memberikan kepercayaan kepada Imran Fazli (Tekong), Zaim Razali (Pengumpan), dan pemain dari Thailand Komkrit Kaewkhamjan (Perejam).

Rejaman Noraizat menoktahkan mata ke-15 buat Perak untuk melakar kemenangan 15-11 dalam set pertama ke atas Penang dalam tempoh 25 minit.






Perak memperagakan corak pertahanan yang kemas dalam aksi set kedua tetapi servis Ikhwan Syafiq yang tajam menjadi menjadi mimpi ngeri buat Perak sekali gus mengheret naib juara GP Selangor itu ke set penentuan dengan kemenangan 17-15.

Walaupun Perak mempertaruhkan tekong utamanya Meor Zulfikar dalam set penentuan, Penang meneruskan momentum cemerlang untuk menempah slot ke pusingan separuh akhir dengan menang 17-15.

Juara GP Selangor, Kuala Lumpur Thunder menanti Penang Black Panthers dalam pusingan separuh akhir esok.

Untuk rekod dalam saingan GP Selangor menyaksikan Penang dikejutkan PDRM Defenders apabila cabarannya terhenti di pusingan suku akhir selepas tewas dalam aksi straight set.