Saingan STL Champions Cup 2024 bakal menyaksikan aksi terunggul lapan pasukan membabitkan pasukan tempatan dan jemputan antarabangsa bakal berentap merebut kejuaraan yang akan bermula dari 13 hingga 17 November ini, di mana gelanggang baru, iaitu Stadium MBSJ, Serdang Jaya bakal menjadi medan pertarungan memburu pengiktirafan itu.
Emas Anuar STL 2024, yang memasuki sedekad penganjurnya musim ini, bakal dimeriahkan dengan kehadiran oleh wakil kelab antarabangsa terdiri daripada empat negara Asia, iaitu Thai Airforce Takraw Club (Thailand), Garuda Sepak takraw (Indonesia), India Fighters (India) dan MGPC Singapore (Singapura), yang akan memberikan saingan sengit buat empat lagi pasukan tempatan serta teratas daripada saingan Divisyen Perdana STL.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, berkata ia merupakan impian jadi kenyataan untuk melihat dan membawa kembali pasukan jemputan antarabangsa untuk menghangatkan kembali gelanggang STL Champions Cup, yang sebelum ini pernah dihadiri oleh pasukan jemputan antarabangsa pada 2019.
"Kami sentiasa melakukan penambahbaikan dalam setiap penganjuran dan aspek pembangunan pemain juga turut dititikberatkan dalam memberi pendedahan lebih kompetitif selain untuk meningkatkan martabat sukan sepaktakraw melalui STL ini dengan lebih berprestij.
"Selama sedekad penganjuran, STL telah membawa sukan ini, bukan hanya di peringkat Asia malah telah menembusi peringkat antarabangsa seperti Amerika Syarikat.
"Musim ini, kami telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa saluran televisyen antarabangsa seperti di Fiji,
Afghanistan dan Mauritius, kami juga masih lagi dalam rundingan untuk berkolaborasi dengan beberapa syarikat penyiaran antarabangsa yang lain," katanya.
Jelasnya, dia optimis melalui Astro sebagai sebuah syarikat rangkaian media terbaik, mereka akan berusaha untuk menaikkan lagi taraf STL dengan harapan dapat menjadikan sepak takraw sebagai sukan bertaraf dunia satu hari nanti.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata saingan STL Champions Cup kali ini pasti sengit dan menarik untuk disaksikan memandangkan beberapa barisan pemain membabitkan pemain kebangsaan dan jagoan dunia seperti Siriwat Sakha, Pichet Pansan (Thailand) dan Yumnam Akash (India).
"Meskipun tumpuan pasti terarah kepada kelab dari negara jiran. Thailand, saya yakin dengan kemampuan pemain dan pasukan sepak takraw tempatan, yang telah menunjukkan peningkatan dan kualiti permainan yang sangat baik, terutama kepada pemain-pemain muda yang berjaya ditonjolkan dalam saingan STL Perdana kali ini.
"Pastinya empat pasukan tempatan ini nanti akan memberi aksi dan saingan terbaik bagi merebut dan seterusnya menjulang STL Champions Cup.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) yang berperanan memartabatkan sukan tradisi ini dengan menyokong pembabitan pasukan antarabangsa pada musim ini," katanya.
GP Johor, yang bakal berlangsung bermula dari 2 November ini di Arena Larkin, Johor, bakal menjadi medan terakhir kepada 12 pasukan yang bersaing dalam STL Perdana untuk merebut empat kedudukan teratas bagi melayakkan diri ke saingan STL Champions Cup.
Rekod pada musim lalu menyaksikan Negeri Sembilan Antlers sebagai juara STL Champions Cup.
Emas Anuar STL 2024 tahun ini merangkumi saingan STL Perdana, STL Divisyen Satu dan STL Champions Cup0. Sebanyak 12 pasukan berentap, masing-masing dalam saingan STL Perdana dan STL Divisyen 1, manakala STL Champions Cup bakal menghimpunkan empat pasukan teratas dari STL Perdana dan empat pasukan jemputan antarabangsa.
Muzaffar Musa
Mon Oct 28 2024