Perejam negara, Azlan Alias, akan kembali menyarung jersi Penang Black Panthers dalam saingan Emas Anuar Liga Sepaktakraw (STL) musim ini.
Azlan menyertai Kuala Lumpur Thunder pada 2020 selepas empat tahun berbakti bersama Black Panthers.
Perejam negara itu, yang kini sedang bersama skuad kebangsaan bagi saingan Sukan SEA di Kemboja, berjanji akan memberikan aksi terbaiknya bagi mengembalikan kegemilangan pasukan utara itu.
Dia berkata kepada Astro Arena: "Yang pertama sekali, Alhamdulillah.
"Tujuan saya menyertai Penang bukanlah untuk lari daripada KL (Thunder) tetapi ia kerana isteri saya berpindah di sini (Pulau Pinang) untuk melahirkan anak kami di kampung, jadi saya juga ikut pindah ke sini.
"Dan secara kebetulan juga, Alhamdulillah, saya mendapat kerja bersama Emas Anuar di Penang, jadi memang saya sudah berniat untuk mewakili Penang.
"Ia mungkin menjadi musim terakhir saya (dalam STL) atau mungkin semusim selepas itu.
"Bagi saya, kita perlu melihat cara permainan kami terlebih dahulu. Setakat ini saya tidak berasa takut dengan mana-mana pasukan kerana di luar kami berkawan dan di dalam gelanggang mungkin kami bermusuh.
"Saya harap kami dapat membuat yang terbaik, terutama ketika berdepan KL nanti," katanya.
Saingan STL 2023 akan membukan tirai dengan aksi Piala Sumbangsih pada 26 Mei ini.
Muzaffar Musa
Mon May 08 2023