Skip to main content

Rencana

Zidane tak mampu hilang rambut lagi

zidan-1.jpg
Mungkin sukar untuk kata-kata Zinedine Zidane diambil serius lagi selepas ini.

Berkongsi keyakinan bahawa 2019/20 akan menjadi musim yang baik buat Real Madrid, kata-kata pengurus itu sekadar disambut sinis.

Akhbar harian sukan Sepanyol, MARCA, yang sentiasa melaporkan mengenai skuad Los Blancos itu, awal-awal lagi membuat kesimpulan bahawa kelab itu tidak akan mencabar apa-apa pun musim ini.

Zidane sebelum ini mendedahkan kebimbangannya terhadap pemainnya yang cedera – daripada Marco Asensio, Ferland Mendy hingga kepada Brahim Diaz – namun kerisauannya kini harus kepada pemain-pemain yang sihat sama.

Perihal diaibkan 7-3 oleh Atletico Madrid dalam perlawanan Piala Juara-Juara Antrabangsa (ICC) di New Jersey, Amerika Syarikat pagi tadi, harus bukan saja menimbulkan persoalan terhadap kemampuan pemain-pemain yang menjadi sandaran, malah sentuhan Zidane sendiri yang cenderung kecundang.



Seperti pengamatan MARCA, raut wajah pengurus berusia 47 tahun itu dari minit pertama hingga ke-90, mencerminkan segala-galanya – daripada sudut tidak menyenangkan lebih daripada menerbitkan harapan.

Kesebelasan awal yang ditampilkannya mudah ditelan Atletico dengan Diego Costa, Joao Felix dan Vitolo semuanya serba menjadi pada ketika Real seakan-akan tidak kelihatan di atas padang di Stadium MetLife itu di sebalik ia hanyalah satu perlawanan pemanas badan pramusim.

Sepanjang perlawanan ‘derby’ itu, apa jua keraguan yang terlintas di fikirannya sejurus kembali ke Santiago Bernabeu, Mac lalu – dia mengambil alih daripada Santiago Solari menghampiri penghujung musim 2018/19 – harus kembali menghantuinya.

Kesudahannya, kekalahan 7-3 itu, dengan Costa menyumbat empat gol sebelum dibuang padang, untuk Atletico mendahului 5-0 dalam separuh masa pertama, memberikan bayangan bahawa ‘revolusi’ Real Madrid akan mengambil masa lebih lama daripada yang difikirkannya.

“Kami akan bermotivasi, saya tiada sebarang keraguan terhadap itu,” katanya seperti dipetik MARCA selepas perlawanan pagi tadi.

Namun, berlawanan dengan kata-katanya itu, hakikat sebenarnya ialah rakan sejawatannya, Diego Simeone, telah melakukan sesuatu yang positif dengan merombak Los Rojiblancos secara besar-besaran dalam masa yang singkat.

Mereka bermain dengan keinginan dan kualiti, terutama ketika menggerakkan serangan. Adakalanya perubahan besar-besaran tidak semestinya sesuatu yang buruk.

Zidane menambah: "Musim baru buat kami akan menjadi baik, saya diyakini. Kami tidak boleh berasa gembira dengan (perlawanan) hari ini. Tetapi dengan segala-gala yang lain, saya berasa yakin saya memiliki sebuah pasukan yang akan bersaing dengan baik.”



MARCA, bagaimanapun, segera mengingatkan pengurus itu ketika dia mula mengambil alih pasukan semula pada pertengahan Mac lalu.

“Ketika itu, Zidane mengatakan ‘kami akan melakukan perubahan’. Ia satu ungkapan yang kami letakkan di muka depan. Tapi empat bulan kemudian, tiada apa-apa yang dapat kami laporkan.

“Pasukan ini masih bermain dengan cara yang sama, kerana acuannya tetap sama dan keputusannya juga sama… atau lebih buruk,” kata komentar akhbar itu. 

Advertisement

Must Watch Video