Skip to main content

Rencana

Zidane baik berundur daripada dipecat kesudahannya

zidane-(3).jpg
Zinedine Zidane mungkin tidak dijulang ramai penganalisis sebagai pakar taktikal tetapi mengatasi semua pandangan sedemikian, dia ternyata seorang yang pintar.
 
Dianggap lebih sebagai seorang pakar motivasi dalam mengerah yang terbaik daripada setiap pemain di bawah tanggungjawabnya, Zidane turut menyedari lambat-laun dia akan dipecat juga – kalau tidak sekarang, mungkin pada musim depan apabila kejayaan semakin terbatas.
 
Bukan rahsia sudah terbit cakap-cakap jurulatih berbangsa Perancis itu menghadapi pemecatan andainya Madrid tewas kepada Liverpool dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Ahad lalu, dengan kemenangan 3-1 ke atas Liverpool itu sekadar melengahkan pemergiannya.



 

Berbanding dengan kebanyakan liga lain di Eropah, kejuaraan LaLiga yang gagal dipertahankan Madrid musim ini dianggap skuad Galacticos itu terlalu tinggi nilainya, dengan kejuaraan UCL hanya mampu menawarkan sagu hati.
 
Contohnya sudah banyak untuk dijadikan perbandingan. Pengurus Madrid terdahulu daripadanya -- Jose Mourinho, Vincente Del Bosque, Fabio Capello dan Carlo Ancelotti – kesemuanya menikmati kejayaan bersama Los Blancos tapi kesudahannya dipecat juga.
 
Seiring dengan pengumuman mengejut Zidane untuk melepaskan jawatannya – hanya lima hari selepas menjulang trofi UCL buat musim ketiga berturut-turut – ramai yang cuba menduga-duga apa yang sebenarnya mendorongnya mengambil langkah menggemparkan itu.



 

Belumpun lama, ia kini diandaikan Zidane memilih untuk angkat kaki kerana dia berasakan dia tidak lagi mendapat sokongan 100 peratus dalam bilik persalinan di Santiago Bernabeu.
 
Akhbar bola sepak harian Sepanyol, Marca, menyimpulkan sudah timbul isu-isu dalam kem Real Madrid yang enggan lagi ditangani Zidane untuk tempoh lebih lama.
 
Marca memetik pakar bola sepak Sky Sports, Guillem Balague, sebagai mendedahkan: “Dia (Zinedine) berasakan pemain-pemain enggan lagi mendengar cakapnya dan dia tidak lagi begitu penting. Seolah-olah itulah yang mahu diceritakannya kepada semua dengan keputusannya itu.



 

“Dia berasakan seorang yang lain perlu ditampilkan sebagai pengganti untuk menangani keadaan itu. Dia juga berasakan dinamika pasukan sudah berubah.”
 
Dan satu-satunya pemain yang Zidane berkongsi keputusannya untuk melepaskan jawatan sebelum sidang akhbar tergemparnya bukanlah pemain yang sentiasa dipertahankannya, Cristiano Ronaldo, sebaliknya ketua pasukan, Sergio Ramos.
Malah, ia bukanlah suatu keadaan yang asing di Real Madrid.
 
Zidane sendiri mewarisi barisan Los Blancos yang berpecah-belah selepas pemecatan Rafael Benitez pada Januari 2016 dan serta-merta menggembleng pasukan itu untuk menjuarai UCL dua tahun lalu, disusuli kejuaraan berganda UCL dan LaLiga yang pertama dalam tempoh 59 tahun musim lalu.
 
Rekod pencapaiannya dalam tempoh dua setengah tahun itu merangkumi sembilan gelaran utama yang tidak akan mudah diulangi sesiapa sambil dia menyertai sekumpulan pengurus elit yang menjulang trofi UCL tiga kali, termasuk Bob Paisley dan Ancelotti. Istimewanya, Zidane melakukannya tiga musim berturut-turut dengan pasukan yang sama.
 
Nama Zidane kini terpahat sebagai pengurus Madrid yang pertama meninggalkan kelab itu pada alaf ini atas kerelaannya sendiri, dibandingkan dengan Mourinho, Del Bosque, Capello dan Ancelotti yang kesemuanya ditunjukkan pintu keluar.
 
Seperkara lagi, keputusannya berundur ketika di puncak kegemilangan turut mengangkat dirinya sebagai seorang yang lebih pintar dan bermaruah.
 
Lagipun, sudah banyak yang dimenanginya dalam sesingkat masa bersama Real Madrid – dan kini ia harus menjadi kebimbangan pengurus lain untuk menentukan masa depan kelab itu.
 
“Memenangi UCL musim lalu adalah memori terbaik saya selaku pengurus Real Madrid. Dan selepas tiga tahun, sukar untuk terus melatih pasukan ini, lebih-lebih lagi selepas menjuarainya tiga kali.
 
“Saya tidak dapat melihatnya dengan jelas bahawa kami akan menjuarainya sekali lagi,” kata Zidane sebagai menutup sidang akhbarnya.
 
 

Advertisement

Must Watch Video