Skip to main content

Rencana

Zhuliang dibuang ketepikan sains sukan

yang-zhuliang-021117.jpg
Amaran kepada jurulatih lain jika mahu teruskan kerjaya pastikan sains sukan diamalkan.

‘Ayah’ kepada penerjun negara akan pulang ke China selepas kontraknya tamat pada 31 Disember ini setelah dia menolak tawaran untuk mengendali program pembangunan terjun negara.

Setelah berkhidmat berbelas tahun untuk membawa tahap sukan terjun Malaysia ke tahap dunia dengan melahirkan juara dunia Cheong Jun Hoong, pemenang pingat Sukan Olimpik, Pandelela Rinong, Bryan Nickson Lomas dan ramai lagi, Zhuliang sebak khidmatnya tidak diperlukan lagi sebagai ketua jurulatih terjun negara kerana sains sukan.

Sains sukan merupakan nadi program elit, Program Podium, apabila jutaan ringgit dilaburkan di bawah pantauan Institut Sukan Negara (ISN) supaya jurulatih, atlet, pegawai dan seluruh komuniti yang terlibat dalam program ini menggunakan sains sukan.

Kenapa sains sukan amat penting sehingga perlu memecat jurulatih yang tidak percaya dan menggunanya dalam perancangan program latihan?

Istilah sains sukan menyatakan ia merupakan satu cabang dalam sains yang mengkaji tindak balas manusia terhadap aktiviti fizikal.

Jadi, bidang ini merangkumi kinesiologi, biomekanik, anatomi dan fisiologi, serta lain-lain topik seperti pemakanan, pengurusan sukan, sosiologi, dan psikologi dalam sains sukan.

Semua ini diperlukan atlet dan dipantau secara konsisten jika ingin berpeluang berada pada prestasi terbaik.

Negara-negara yang mendominasi sukan dunia seperti Amerika Syarikat, Britain, Rusia, Jerman mahupun di Asia, China dan Jepun sudah berpuluh tahun menitikberatkan penggunaan sains sukan dalam menaikkan prestasi atlet mereka.

Bekas atlet terjun, Bryan Nickson Lomas, Yeoh Ken Nee dan Khairul Safwan Mansor yang pernah dibimbing oleh jurulatih berusia 53 tahun itu sedih dengan khabar bahawa Zhuliang yang dikatakan menerap program latihan ‘old school’ akan meninggalkan Malaysia.

Teknik dan program Zhuliang telah melahirkan penerjun negara yang disegani dunia namun mungkin usahanya masih tidak cukup di mata ISN yang percaya jika sains sukan digunakan, kemungkinan beberapa juara dunia dan pingat emas Sukan Olimpik sudah dapat dicapai oleh penerjun negara.

Mana lebih relevan, ‘old school’ atau sains sukan?

Advertisement

Must Watch Video