Skip to main content

Advertisement

Rencana

WWE NXT Takeover: Malam penuh ekstrim di Philly

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wwe-1-290118.jpg
Seakan memberi tribute kepada Kejohanan Gusti Lasak / Extreme Championship Wrestling (ECW) yang berpangkalan di Philadelphia, Pennsylvania dari tahun 1992 hingga 2001, acara WWE NXT Takeover berjaya mempersembahkan sebuah acara yang cemerlang dan penuh babak mendebarkan, semalam.
 
Tidak dinafikan, perlawanan ekstrim tanpa sekatan peraturan melibatkan Aleister Black dengan ketua gagasan Undisputed Era, Adam Cole merupakan perlawanan paling mencuri tumpuan. Setelah kedua mereka bersengketa sejak beberapa bulan lalu, acara NXT Takeover Philly menjadi medan buat masing-masing menyelesaikan segala kesumat yang terpendam selama ini.

Secara atas kertas, para NXT Universe menjangkakan yang Aleister akan meneruskan momentum kecemerlangannya setelah dinobatkan sebagai Penggusti Lelaki Terbaik NXT bagi tahun 2017 sebelum itu. Namun berbekalkan pengalaman bergusti di pelbagai sirkit sejak 2008, menyebabkan Cole sukar dijinakkan oleh Black walaupun penggusti kelahiran Belanda ini mempunyai kelebihan fizikal yang lebih besar.


 
Cole, 28 tidak menunggu lama untuk menggunakan senjata apabila hanya beberapa minit perlawanan bermula, beliau telah membawa naik beberapa kerusi besi untuk dijadikan sekutu untuk mendepani Black.
 
Selain kerusi besi, rotan kendo, meja, dan tangga turut menjadi prop oleh kedua-dua penggusti ini bagi meraikan tema ekstrim dalam perlawanan mereka. Hinggakan pengadil terpaksa menghentikan seketika perlawanan yang sedang rancak gara-gara Cole mengalami luka di bahagian jarinya sehingga menyebabkan darah berjejeran. Situasi yang sama juga menimpa Black apabila belakang badannya turut tertiris akibat terhempas kuat di atas meja luar gelanggang hasil satu tendangan padu berlapikkan kerusi besi tepat ke muka Black.


 
Seperti dijangka, situasi genting yang menimpa Cole mengundang dua lagi ahli The Undisputed Era, Kyle O’ Reilly dan Bobby Fish berkejar masuk mengganggu perlawanan dan membelasah Black. Pengadil hanya mampu melihat kerana gangguan pihak luar merupakan sesuatu yang sah dan serangan ini nyaris memberikan kemenangan kepada Cole.


 
Pelan keji itu walau bagaimana pun tidak menjadi apabila musuh ketat Fish dan Riley, Sanity muncul dan menghentikan kerja-kerja jahat Juara Regu NXT itu. Dengan satu terjunan bunuh diri oleh Killain Dain, perlawanan menjadi seimbang semula apabila semua parasite dapat dihalau.
 


Satu terjahan lutut berjaya dilakukan di atas meja pengulas oleh Black ke atas Cole. Disusuli dengan tendangan padu Black Mass, Black kekal dalam dominasi apabila berjaya melakukan tindanan pin ke atas Black yang sedang dibuai mimpi.
 
Saingan sengit bagi Kejuaraan NXT



Lain pula ceritanya buat pencabar utama Kejuaraan NXT, Johny “Wrestling” Gargano. Cubaannya untuk mengulangi kisah ala Cinderella yang dilakukan Daniel Bryan pada 2014, tidak terlaksana.
 
Namun ia tidak bermakna perlawanan kemuncak antara Gargano dan sang juara, Andrade “Cien” Almas hanya sebuah perlawanan kosong. Walau pun hanya berbekalkan berat 90 kilogram dan tinggi 1.78 cm, Gargano membuktikan yang beliau adalah antara penggusti ringan teknikal antara yang terbaik era ini.
 
Perlawanan ini bermula agak perlahan dengan Almas dilihat menguasai perlawanan. Namun servis kelihatan mula bertukar tangan apabila serangan bertali arus berjaya dilancarkan oleh Gargano. Beberapa kunci maut Gargano Escape juga nyaris membuatkan Almas menepuk lantai tanda menyerah.
 


Valet merangkap penasihat kepada Almas, Zelina Vega memainkan peranan penting dengan beberapa kali mengganggu kelancaran perlawanan. Tidak padan dengan kecil molek, Zelina turut berani melakukan beberapa serangan seperti Huricanrana kepada Gargano di luar gelanggang.
 
Melihatkan perilaku Zelina yang semakin ‘naik lemak, isteri Gargano, Candice Le Rae yang berada di kerusi penonton tidak dapat menahan sabar. Zelina boleh diibaratkan sebagai objek pemanas badan untuknya yang juga baru sahaja menandatangani kontrak bersama WWE baru-baru ini sebagai penggusti. Zelina dikeronyok dan dihambat keluar dari gelanggang.
 
Barangkali belum rezeki buat Gargano. Almas memberikan gerakan penyudahnya iaitu Hammerlock DDT kepada Gargano yang masih lagi pening lalat kerana ditujah dengan lutut di besi bucu gelanggang sebelum itu. Ternyata, Almas bukanlah seorang juara yang wajar dipandang enteng dan berjaya membuktikan kelayakannya sebagai juara  apabila menewaskan Gargano.


 
Situasi malang terus menimpa bintang berusia 30 tahun ini. Sewaktu diiring keluar oleh isterinya, bekas pasangannya daripada pasukan DIY, Tammaso Ciampa muncul entah dari mana dan memukul belakang Gargano dengan tongkat. Nampaknya sengketa antara mereka akan berterusan selepas terhenti akibat Ciampa mengalami kecederaan lutut pertengahan tahun lalu.
 


Acara anjuran jenama NXT di bawah kendalian Triple H ini juga mencipta kejutan semalam apabila memaparkan beberapa bintang baharu yang akan menambahkan saingan di jenama tersebut tidak lama lagi. War Machine, Ricochet dan yang paling mengujakan, Ethan Carter III (EC3) muncul sebagai antara hadirin yang hadir.
 
Bekas Juara Heavyweight Dunia TNA ini juga telah disahkan akan menyertai jenama NXT tidak lama lagi setelah mengambil keputusan untuk tidak lagi menyambung kontrak bersama Impact. Untuk rekod, kepulangan ini ibarat sirih pulang ke gagang kerana di jenama NXT lah EC3 memulakan kariernya sebagai Derrick Bateman pada lima tahun lalu, sebelum menjenamakan semula dirinya sebagai anak saudara Presiden TNA, Dixie Carter dengan persona penuh bongkak dan ego.

 

Keputusan lain perlawanan yang berlangsung di NXT Takeover: Philadeplhia:
1. The Undisputed Era kekalkan Kejuaraan Regu NXT dengan menumbangkan Authors Of Pain.
2. Velveteen Dream tumpaskan Kassius Ohno
3. Shayna Baszler gagal dalam usahanya untuk merampas Kejuaraan Wanita NXT daripada Ember Moon
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro TV & Astro GO.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Must Watch Video