Skip to main content

Rencana

Wira Liverpool julang Brazil

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

brazil-firmino.jpg
Kejayaan Liverpool menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu tampak memberi kesan positif juga buat skuad Brazil yang melangkah ke final Copa Amerika 2019 selepas menewaskan seteru utama, Argentina, 2-0.

Kelibat penyerang Liverpool, Roberto Firmino, dan penjaga gol, Alisson Becker, jelas menunjangi kemaraan Selecao yang sedang memburu kejuaraan kesembilan Copa Amerika tahun ini.

Selain dua pemain Liverpool itu, keampuhan Brazil dalam saingan kali ini turut dibantu dengan daya kreativiti bekas pemain kelab Inggeris itu, Philippe Coutinho, yang banyak mencanang gerakan dari bahagian tengah.

Coutinho tampak berjaya membuktikan dia tetap seorang pemain berkualiti meskipun mengharungi musim hambar di Barcelona musim lalu dan mungkin membuktikan mengapa pengendali Liverpool Jurgen Klopp wajar mempertimbangkan semula kepulangan pemain itu ke Anfield musim depan.

Brazil dihambat masalah kecederaan bintang utamanya, Neymar, sebelum saingan Copa Amerika bermula namun, kelibat pemain Paris St Germain itu tampak seakan tidak diperlukan dengan kejayaan Brazil mara ke final di laman sendiri.

Firmino mungkin tidak mempunyai rekod jaringan yang banyak berbanding Neymar di pentas antarabangsa, namun dia seorang pemain yang bijak membuka ruang buat rakan sepasukan lain menjaringkan gol.

Ia situasi sama seperti di Liga Perdana Inggeris, rekod jaringannya tidak sebanyak Sadio Mane dan Mohammad Salah, namun dia banyak melakukan umpanan buat dua rakan sepasukannya itu meraih gol.

Jika dilihat kepada barisan penyerang Brazil dalam saingan Copa kali ini, hanya pemain Manchester City, Gabriel Jesus, boleh dianggap sebagai nama besar manakala pemain lain seperti Richarlison, Everton Soares dan David Neres adalah pemain yang sedang meningkat naik.

Becker pula mungkin antara penjaga gol terbaik yang pernah dihasilkan Brazil berlandaskan pencapaian serta kelibatnya bersama juara dunia lima kali itu setakat ini.

Ketika aksi separuh akhir Copa Amerika berdepan Argentina pada hari ini, Becker berdepan 14 percubaan lawan namun, tidak satu pun percubaan mereka berjaya menerjah gawang.

Becker juga tampak bijak mengendalikan benteng pertahanan dan dilihat mempunyai keserasian yang baik dengan pemain di benteng dan ia sama seperti yang berlaku di Liverpool.
 

Advertisement

Must Watch Video