RENCANA
Wakil Malaysia? Tak mahu....
Dia ialah penyerang hoki remaja Australia, Kiran Arunasalam.
Apa yang mengejutkan ialah dia langsung tidak berfikir kerana belum sempat saya menghabiskan soalan, dia terus menjawab tidak.
"Saya gembira di Australia. Saya ada segalanya di sana. Pasukan ini juga menerima saya dengan baik walaupun saya berbangsa India.
Iklan
"Saya harap dapat terus menyarung jersi Australia hingga ke pasukan kebangsaan," katanya.
Saya bertanya, bagaimana jika Malaysia menawarkan elaun latihan kerana keistimewaan itu tiada di Australia?
"Tidak...tidak...tidak," kata penyerang berusia 20 tahun ini.
Bapanya, Mohan Arunasalam berasal dari Pulau Pinang dan berhijrah ke Melbourne pada 1983 selepas melanjutkan pelajaran di negara itu.
Beliau pernah membantu sepupu berniaga kacang di Brickfield pada penghujung 70-an.
Mohan bertemu isterinya di Melbourne dan mengambil keputusan menetap di sana hingga dikurniakan empat cahaya mata - Kiran anak ketiga.
"Saya tidak akan campur tangan. Biar dia buat keputusan negara mana yang akan diwakilinya. Dia sendiri buat keputusan dan saya akan menyokong janji dia gembira. Wang bukan segalanya," kata bapanya.
Saya hanya tersenyum - terkenangkan pertahanan Kanada, Adam Froose kelahiran Subang Jaya.
Dia juga tidak bercadang mewakili Malaysia kerana gembira dengan apa yang ada.
Jadi, bukan mudah mendapatkan pemain naturalisasi berkualiti. Jika mereka berada dalam skuad utama negara masing-masing, adakah mereka akan datang ke Malaysia?
Must-Watch Video