RENCANA
Wajarkah Wak Doyok & Mat Don perkuat Harimau Malaya?
Minggu ini, media arus perdana termasuk Nadi Arena melaporkan mengenai usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapatkan taraf kerakyatan buat dua awang import, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi dengan menyerahkan segala butiran pemain tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Penulis akui sedikit terkejut, FAM benar-benar berusaha menaturalisasikan de Paula kerana pemain kelahiran Brazil ini sudah berusia 32 tahun.
Pemilihan Krasniqi pula tidak mengejutkan penulis kerana dia masih berusia 27 tahun dan jika layak mewakili Malaysia, dia mampu menyumbang kudrat untuk sekurang-kurangnya empat hingga lima tahun lagi.
Iklan
Jika mendapat kelulusan badan bola sepak dunia FIFA untuk menyarung jersi keramat negara, penulis percaya de Paula mampu beraksi sebagai 'Target Man' atau pun penyerang nombor sembilan dalam formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1 yang kerap digunakan Cheng Hoe.
Krasniqi pula pasti mampu memainkan peranan sebagai general di bahagian tengah yang mempunyai kemampuan teknikal cukup baik
Sudah pasti terdapat pelbagai reaksi mengenai usaha FAM menaturalisasikan dua pemain ini daripada peminat tempatan.
Namun bagi penulis, dua pemain ini bersama dengan seorang lagi pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh akan memberi ramuan tambahan penting buat pengendali negara Tan Cheng Hoe buat jangka masa pendek.
Cuma penulis berharap, FAM tidak mengambil lebih ramai pemain naturalisasi selepas ini.
Tidak mengapa jika terus mengambil pemain berdarah campuran atau, pemain keturunan Malaysia yang dibesarkan di luar negara seperti bintang muda Liga Utama Amerika Syarikat (MLS), Wan Kuzain Wan Kamal.
Cuma penulis berharap jika pemain seperti Wan Kuzain mahu mewakili negara, biarkan dia terus beraksi di MLS yang sudah pasti berada di tahap lebih tinggi berbanding Liga M.
Penulis juga berharap jika de Paula dan Krasniqi berjaya mendapat taraf kerakyatan dan kelulusan FIFA, mereka mampu membuktikan kepada peminat serta pemerhati bahawa pelaburan terhadap mereka adalah berbaloi.
Dengan kehadiran de Paula dan Krasniqi, penulis turut berharap Cheng Hoe juga tidak akan menyisihkan kelibat pemain berpotensi untuk skuad negara seperti Sharel Fikri Md Fauzi.
Sebenarnya gabungan pemain naturalisasi seperti Krasniqi, de Paula, Sumareh bersama pemain tempatan seperti Sharel, Safawi Rasid dan Akhyar Rasid mampu membentuk barisan ampuh.
Ditambah pula dengan pemain berdarah kacukan seperti Corbin Ong, Matt Davies dan tidak dilupakan, pemain berdarah campuran pertama negara, Brendan Gan.
Sudah pasti kita mengharapkan yang terbaik buat skuad negara namun, perlu diingat pengambilan pemain naturalisasi hanya jangka pendek.
Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) perlu terus diperkasa dan usaha pembentukan bakat muda tetap perlu dijadikan keutamaan.
Must-Watch Video