Skip to main content

Rencana

Wajarkah PKNS jadi 'feeder club'?

pkns-2019.jpg
Persoalan mengenai masa depan PKNS FC kini kembali diperkatakan sama ada di media sosial mahu pun media arus perdana tempatan.

Ia selepas Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari, dalam temu bual dengan beberapa media arus perdana baru-baru ini tidak menolak kemungkinan PKNS menjadi 'feeder club' atau kelab sokongan untuk musim Liga Malaysia 2020 kepada Selangor.

Pada pengamatan penulis, ia wajar jika PKNS menjadi sebuah feeder club demi kemajuan bola sepak di negeri Selangor.

Memang PKNS sebuah kelab bersejarah namun, pada penulis adalah lebih wajar negeri Selangor kini hanya mempunyai satu skuad utama dalam saingan Liga Super.

Seperti Selangor, PKNS turut menerima bantuan dana daripada kerajaan negeri dan ia jelas jika tumpuan diberi kepada satu pasukan, Selangor mampu membentuk sebuah barisan ampuh yang mampu mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT) di saingan Liga Super.

Mungkin ada segelintir peminat bola sepak di Selangor tidak bersetuju dengan pandangan penulis tetapi, hakikatnya peminat di negeri itu sukar menyokong pasukan selain Selangor.

Pada pengamatan penulis, pengurusan PKNS FC juga sebenarnya patut menggandakan usaha mereka jika enggan menjadi sebuah feeder club.

Mereka sepatutnya berdikari mencari dana kewangan sendiri, kaedah pemasaran yang lebih berkesan dan mampu menambah bilangan penyokong ke stadium.

Jika ditinjau bilangan penonton yang hadir menyaksikan aksi PKNS di Liga Super musim ini, jumlahnya amat menyedihkan.

Berbeza dengan sekretariat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kini, meskipun turut mendapat sokongan kewangan kerajaan negeri, mereka masih menggandakan usaha menambah kekuatan kewangan pasukan dan persatuan menerusi beberapa tajaan serta mempromosikan kaedah jualan tiket.

Daripada pencapaian pasukan, penulis berasa tindakan pengurusan pasukan dan ketua jurulatih, Datuk K.Rajagobal, melepaskan beberapa tonggak senior musim lalu untuk saingan musim ini juga sebagai satu kesilapan.

Mereka bermula baik musim ini namun, kegagalan untuk kekal konsisten tanpa tonggak beberapa senior musim lalu menyaksikan PKNS kini terperosok di tangga kelapan dan sukar menyamai pencapaian di tangga ketiga musim lalu.

Jika dilihat kepada kepada barisan awang import, pemain import PKNS musim ini seperti Kpah Sherman dan Gabriel Guerra sebenarnya lebih baik berbanding pemain import musim lalu.

Sekiranya PKNS sudah menjuarai sekurang-kurangnya satu piala musim lalu atau ke final Piala FA musim ini, mungkin mereka mempunyai hujah lebih kuat untuk kekal sebagai entiti berasingan daripada FAS musim depan.

Difahamkan kos juga menjadi antara faktor mengapa Amiruddin tidak menolak kemungkinan menjadikan PKNS sebagai kelab sokongan.

Dan kerana itu penulis berasakan, penstrukturan semula bola sepak Selangor wajar dilakukan.

Jika kerajaan negeri memperuntukan RM10 hingga 15 juta untuk kewangan skuad Selangor dan PKNS di Liga Super, RM30 juta boleh ditumpukan buat satu pasukan.

Dengan RM30 juta, ia cukup membentuk sebuah pasukan ampuh yang berupaya mencabar JDT sebagai kuasa besar Liga M.

Cuma, kerajaan negeri dan FAS perlu juga memastikan pemain-pemain di skuad utama, Piala Presiden dan Belia PKNS digabungkan dengan pemain terbaik Selangor sedia ada.

Program akar umbi PKNS juga perlu diteruskan dalam penghasilan produk pemain remaja berkualiti untuk kepentingan bola sepak Selangor.
 

Advertisement

Must Watch Video