Kedudukan Malaysia dalam undian pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 yang juga kelayakan Piala Asia 2023 secara rasminya terjawab pada Isnin menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Skuad negara sah berada dalam Pot 4 selepas berjaya melakukan peningkatan dalam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hasil daripada kemenangan ke atas Nepal dan Timor Leste, baru-baru ini.
Rentetan kemenangan itu juga membolehkan mata ranking Malaysia bertambah sebanyak 20.289 mata kepada 1009.044 mata, memintas Singapura dan Indonesia yang tewas dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.
Harimau Malaya diletakkan bersama-sama Turkmenistan, Myanmar, Hong Kong, Yemen, Afghanistan, Maldives dan Kuwait setelah berjaya mengelak berada dalam Pot 5 yang juga terakhir untuk undian yang akan berlangsung di AFC House, Bukit Jalil, 17 Julai ini.
Kedudukan berkenaan adalah berdasarkan ranking terbaru FIFA pada 14 Jun 2019 selepas berlangsungnya aksi play-off kelayakan yang menyaksikan Bangladesh, Kemboja, Guam, Malaysia dan Mongolia mara ke pusingan kedua.
Kesemua 40 pasukan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan setiap kumpulan membabitkan lima pasukan yang akan berentap mengikut format 'round-robin' dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020.
Menariknya mengenai kedudukan bagi undian berkenaan, setiap Pot bermula dari Pot 2 mempunyai wakil pasukan Asia Tenggara.
Contohnya, Vietnam dalam Pot 2, Thailand dalam Pot 3, Malaysia seperti yang dinyatakan dalam Pot 4, manakala Indonesia dan Singapura dalam Pot 5.
Berdasarkan situasi itu, tidak mustahil pasukan terbabit akan bertembung sesama sendiri dan ia sekali gus bakal menyaksikan saingan yang mirip dengan Piala Suzuki AFF, cuma bezanya ia berlangsung di pentas berlainan.
Sememangnya, kita juga mengharapkan tuah undian itu nanti dalam usaha meloloskan diri ke pusingan ketiga yang akan mengesahkan tempat secara automatik ke Piala Asia 2023 di China.