Skip to main content

Rencana

UniKL, pasukan dari Bangi

unikl.jpg
Saya akui, hoki perlu mengikut pelan jenama bola sepak dengan menjadikan sesebuah pasukan memiliki jumlah penyokong yang ramai.

Asasnya menggunakan sentimen kenegerian kerana rakyat Malaysia menyayangi negeri kelahiran masing-masing.

Realitinya, hanya Terengganu Hockey Team (THT) memiliki ciri-ciri itu memandangkan mereka berpangkalan di Kuala Terengganu, mendapat dana kerajaan negeri dan memiliki gelanggang sendiri - Stadium Hoki Batu Buruk.

Tidak hairanlah THT memiliki jumlah penyokong ramai, lebih ramai berbanding penyokong UniKL ketika final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional 2 Bukit Jalil.

UniKL sedar perkara itu.

The Young Guns melabur jutaan ringgit membina Stadium Hoki Tengku Abdullah di Bangi, Selangor. Mereka satu-satunya pasukan berstatus wakil syarikat atau universiti yang memiliki stadium sendiri.

Mereka perlu guna kelebihan itu untuk membentuk penyokong sendiri.

"Kami pasukan dari Bangi. Kami sudah merangka pelan untuk menubuhkan akademi UniKL di Bangi dengan fokus awal menarik minat kanak-kanak dan remaja Bangi".

"Apa yang kami sedar, Stadium Tengku Abdullah sentiasa penuh setiap kali perlawanan membabitkan UniKL sekali gus petanda bahawa kami sudah memiliki pengikut setia".

"Beberapa pemain dan kakitangan UniKL akan menguruskan akademi ini dengan matlamat melahirkan barisan pelapis dan menjadikan Bangi sebagai lubuk melahirkan pemain kebangsaan," kata pengurus UniKL, Datuk Amir Azhar Ibrahim.

Saya setuju dengan langkah ini kerana hoki selalu ketinggalan mengenai aspek penonton.

Sama ada jumlah penonton ke stadium, aspek penganjuran kejohanan hambar atau tidak berani memperkenalkan sistem tiket.

Pendek kata, dari dulu sampai sekarang sama saja.

Kepada penduduk Bangi dan kawasan sekitar, Putrajaya, Kajang, Sepang dan Nilai (Negeri Sembilan), siap-sedia.

Juara treble Liga Hoki Malaysia, yang menjuarai Piala TNB, liga dan Piala Sumbangsih akan memulakan langkah untuk memenuhkan kalendar riadah anda semua!  

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found