Skip to main content

Rencana

Tugas akhir di White Hart Lane

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

5617mauriciopochettino.jpg
Kejayaan Chelsea menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali kedua dalam tempoh 3 musim dengan tundukkan West Brom pada aksi ke-36 liga telah mengesahkan secara rasminya Tottenham Hotspur terus gagal untuk mengembalikan trofi yang kali terakhir dimenangi pada 1961.

Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino pastinya individu yang paling terkesan dengan perkhabaran mendukacitakan ini. Lebih menyakitkan apabila rakan sejawatannya di Stamford Bridge, Antonio Conte secara sinis menganggap Spurs punya lebih peluang untuk muncul juara kerana sudah 3 tahun bersama jurulatih dari Argentina itu, disamping perbelanjaan besar mereka musim ini.

Drama di penghujung musim ini adalah bukti kehangatan saingan yang masih rancak berlangsung walaupun gelaran juara sudah pun dimiliki. Biarpun Spurs tiada masalah menempatkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, pasukan yang perlu ditumbangkan untuk melaksanakan misi terakhir musim ini bukan calang-calang, mereka perlu berdepan Manchester United.

Memgimbas kembali detik manis yang pernah direkodkan di White Hart Lane, kubu keramat sejak 1899 yang bakal jadi sejarah tidak lama lagi, The Lily Whites menjulang kejayaan di pentas eropah dengan bersaksikan 50,000 penyokong sendiri menerusi persembahan memukau yang mengikat Wolverhampton Wanderers 1-1 pada 1972.

Terbaru, Spurs dinobat Raja London Utara dengan menjinakkan Arsenal pada perlawanan derbi yang berlangsung April lalu. Ia sekaligus memadam duka 26 tahun dan buat kali pertamanya sejak 1995, Spurs dapat pastikan penamat lebih baik berbanding The Gunners.

Namun persoalannya, apakah fokus anak buah Jose Mourinho kini hanya tertumpu kepada final Liga Europa dalam misi melengkapkan koleksi kejuaraan atau kedudukan 4 terbaik liga perdana tetap dalam radar kawalan United.

Situasi menang tapi kalah yang dihadapi Atletico Madrid pada aksi timbal balik kedua di Vicente Calderon mungkin situasi paling hampir untuk dijadikan Pochettino sebagai inspirasi pada aksi terakhir di laman sendiri berlangsung pada Ahad. Sekurang-kurangnya kemenangan yang dicetak Spurs sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada White Hart Lane dapat dijadikan hadiah paling bernilai buat para penyokong setia mereka dan pembakar semangat ketika membuka buku baru di venue lebih gah pada musim 2017/2018 nanti.

Advertisement

Must Watch Video