RENCANA
Tuah dua jurulatih baharu
Dua pasukan dari selatan tanah air, Melaka dan Negeri Sembilan, jadi antara dua pasukan berjaya dapatkan pulangan dalam masa terdekat selepas menukar jurulatih dalam harungi baki jadual Liga Super.
Berdasarkan statistik setakat ini, Melaka hanya meraih satu kekalahan dalam lima perlawanan dikendalikan E. Elavarasan, iaitu 1-0 di tangan Terengganu pada 26 Mei lalu.
Paling menarik, rekod dua kemenangan dan dua keputusan seri daripada lima perlawanan itu dicapai di empat gelanggang lawan, satu pencapaian yang boleh dilabel hebat bagi mana-mana jurulatih baharu ambil alih pasukan.
Iklan
Menukar dua import dan membawa masuk beberapa pemain tempatan yang mungkin sudah dianggap berkarat oleh pasukan-pasukan lain seperti Syahrul Azwari dan S. Veenod, Elavarasan mampu mengubah kembali Melaka sebagai pasukan penuh kenafsuan.
Bahagian tengah Melaka yang tampak kurang mencengkam sebelum ini tampak berbeza dengan kehadiran pemain bermobiliti tinggi, Lee Chang Hoon dan Ifedayo Omosuyi, bagi memberikan lebih banyak ruang kepada Yahor Zubovich bernafas di jentera serangan.
Elavarasan juga nampak sesuatu berbeza kepada Veenod apabila ambil risiko turunkan pemain dilabel punyai dua jantung itu bertindak sebagai pertahanan kanan dalam dua perlawanan terakhir dan ia menjadi setakat ini.
Melaka di bahagian sayap sememangnya antara sebuah pasukan yang cukup baik kerana telah dibekalkan ramai pemain berkualiti seperti R. Gopinathan, S. Chanturu, R. Surendran dan Fauzi Roslan selain yang terbaharu Syahrul Azwari.
Elavarasan hanya perlu perbaiki aspek disiplin bertahan pasukan itu yang masih lemah dan kehadiran penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat diharap mampu bantu Melaka kembali timbulkan kegerunan kepada pasukan lawan.
Manakala Negeri Sembilan walaupun bermula agak perlahan dengan dua kekalahan pada awalnya iaitu kepada Kedah dan JDT, pendekatan jurulatih termuda Liga Super yang baharu berusia 34 tahun, Mario Lemos nampaknya sudah makin diterima pemain.
Siapa sangka, tujuh mata yang dipungutnya dalam lima perlawanan sudah cukup atasi pencapaian dua jurulatih terdahulu, Jorge Steinerbrunner (3 mata) dan Azraai Khor Abdullah(dua mata).
Biarpun cetek pengalaman dan difahamkan pernah menjadi penolong jurulatih kelab Thailand, Muangthong United selain sedikit kabur apa peranannya bersama pasukan kebangsaan Bangladesh sama ada jurulatih atau fisioterapi, Lemos boleh cipta gemilang sulungnya di Negeri Sembilan.
Antara yang berjaya dilakukan oleh Lemos ialah mengenalpasti pemain-pemain yang bermasalah dalam pasukan dan berikan kepada mereka yang layak.
Paling menarik perhatian penulis, ialah kehadiran semula Kim Do Heon dalam pasukan yang sebelum ini bukan jadi pilhan bekas jurulatih terdahulu, Azraai untuk disingkirkan.
Berdasarkan formasi 4-3-3, Do Heon tampak banyak membantu pasukan dan cukup selesa dibantu di bahagian tengah oleh Flavio Beck Junior dan Mohd. Aiman Mohd. Khalidi.
Aksi tanpa kalah dalam tiga perlawanan terakhir dijangka mampu jadi pemangkin semangat buat Negeri Sembilan yang kembali bernyawa buru slot Liga Super musim depan.
Must-Watch Video



