Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

Traore 'sumpahan' Manchester

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

cover_1.jpg
Kota Manchester melalui saingan minggu kelapan Liga Perdana Inggeris dengan nada suram susulan dua kelab dari kota itu menerima kekalahan yang merencatkan sasaran masing-masing.

Tatkala Manchester City dikejutkan dengan kekalahan 2-0 di tangan Wolverhampton Wanderers di laman sendiri, musuh setempat mereka, Manchester United, terpaksa menelan kepahitan ditewaskan Newcastle United 1-0 ketika berkunjung ke St James Park.

Bagaimanapun, selepas pertemuan di Etihad, wujud satu watak yang memberikan igauan ngeri yang sama buat kedua-dua wakil kelab dari barat laut England itu musim ini.

City kendalian Pep Guardiola tewas di tangan Wolves susulan dua jaringan yang terhasil daripada serangan balas menerusi pemain sayap, Adama Traore, sekali gus memberikan kekalahan kedua buat juara bertahan itu bagi musim 2019-20.



Pemain kelahiran L'Hospitalet, Sepanyol itu menyempurnakan dua peluang yang dicetuskan oleh penyerang, Raul Jimenez, tatkala The Citizens jelas tempang tanpa dua tonggak pertahanan tengah, John Stones dan Aymeric Laporte.

Lebih perit, kekalahan di Etihad itu juga bermakna City kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool, sambil warga media sosial membayangkan anak buah Guardiola telah menyerahkan trofi Liga Perdana Inggeris buat The Reds secara tidak rasmi.

Namun, apa kaitan Traore dan United?

Tanggal 20 Ogos lalu di Molineux, Traore menjadi pemangkin kepada kebangkitan Wolves untuk meranapkan impian The Red Devils meraih kemenangan kedua, membantu pasukannya mengikat anak buah Ole Gunnar Solskjaer itu 1-1.

Meskipun memulakan perlawanan dari bangku simpanan dan tidak menjaringkan gol, pemain berusia 23 tahun yang memiliki susuk tubuh yang tegap itu tampil cemerlang sebaik sahaja dibawa masuk dalam babak kedua menggantikan Matt Doherty.

Malah, larian pantas yang kerap menyukarkan Luke Shaw untuk mengekangnya telah membuka ruang buat Ruben Neves melakukan rembatan dari luar kotak penalti dan memastikan Wolves meraih satu mata.



Sejak minggu kedua liga itu, United seperti disumpah, gagal mempamerkan kecemerlangan apabila mencatat satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

Justeru, tidak kira sejauh mana pencapaian bekas produk Barcelona B itu di penghujung musim nanti, dia mungkin sudah boleh tersenyum dengan apa yang diraih, merencatkan usaha dua kelab dari Manchester bagi musim 2019-20.

Mungkin sukar untuk Traore membantu Wolves menjulang trofi, namun sekurang-kurangnya dia berpotensi menjadi watak utama dalam memastikan City tidak meraih gelaran liga ketiga berturut-turut dan untuk United, mereka tentunya tidak akan melupakan pemain yang mencetuskan 'sumpahan' buat mereka.

Advertisement

Must Watch Video