Skip to main content

Rencana

Totti -- Legenda Rom tiada tandingan

francesco-totti.jpg
Tarikh 28 Mei 2017 memberi makna tersendiri buat AS Roma apabila itu merupakan kali terakhir pemainnya, Francesco Totti menyarung jersi I Giallorossi sekaligus menutup ikatan pemain berusia 40 tahun itu bersama kelab Rom berkenaan.

Sememangnya musim 2016/2017 tidak banyak berkisar mengenai peranan Totti dalam perjalanan pasukan itu hadapi cabaran Serie A namun impaknya tetap dirasai khususnya apabila dia umum ini musim terakhirnya.

Walaupun tidak mengumumkan persaraan secara terus, ramai beranggapan kelibatnya selaku pemain gantian untuk aksi menentang Genoa adalah yang terakhir dalam kariernya.

Pengaruh Totti bersama Roma cukup besar di mana dia pernah membantu pasukan itu menjuarai gelaran Serie A pada musim 2000/2001.

Selain itu dia juga pernah memenangi Coppa Italia di samping Piala Super Itali sebanyak dua kali.

Secara keseluruhan dia membuat 785 penampilan bersama Roma dengan menjaringkan 307 gol, membuktikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi untuk pasukan yang diwakilinya sejak 1992, kelab tunggal profesional buat dirinya walaupun di peringkat remaja dia pernah beraksi untuk Fortitudo Luditor, Smit Strastevere serta Lodigiani.

Di peringkat antarabangsa pula dia turut mempertaruhkan pengalamannya bersama pasukan kebangsaan Itali selama lapan tahun bermula 1998.

Detik paling manis sudah pasti kejayaan Azzurri menjuarai Piala Dunia 2006 di Berlin, Jerman dengan menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti.

Tidak lama selepas itu Totti umum persaraannya di pentas antarabangsa.

Kini Serie A kehilangan seorang lagi pemain bertaraf legenda yang mewarnai saingan itu antaranya Paolo Maldini, Alessandro del Piero, Javier Zanetti, Fabio Cannavaro serta Andrea Pirlo.

Hala tuju Totti mungkin belum pasti lagi ketika ini namun penulis yakin pengaruh serta pengalaman yang dimilikinya sentiasa akan menjadi bualan, khususnya di bandar Rom. Grazie Totti!

 

Advertisement

Must Watch Video