Umum pasti sudah tahu mengenai perletakan jawatan Nelo Vingada baru-baru ini yang sekaligus menyaksikan pembantu beliau, Tan Cheng Hoe diberikan mandat selaku ketua jurulatih pada Khamis.
Perletakan jawatan Vingada memang sudah dijangka apabila menerima asakan berbagai pihak yang mahu beliau mengundurkan diri.
Advertisement
Walaubagaimanapun, kali ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengubah angin dengan kembali memberi kepercayaan kepada tenaga tempatan dan calon yang paling sesuai buat masa sekarang sudah tentu Tan Cheng Hoe.
Dengan bola sepak Malaysia berada di tahap paling kritikal, sudah tentu Tan Cheng Hoe mahu pemain, pegawai mahupun penyokong bola sepak Malaysia segera melupakan segala apa yang berlaku pada tahun 2017. Masakan tidak, tahun 2017 tiada sebarang kemenangan diraih skuad kebangsaan, tambahan pula ranking negara berada di kedudukan paling teruk.
Paling ketara, barisan pemain yang dianggap “emas” dan bakal membawa Malaysia pergi jauh suatu ketika dulu kerana pernah memenangi Sukan Sea dan Piala AFF Suzuki, adalah barisan pemain yang hampir sama beraksi di tahun 2017 namun tidak membawa apa-apa impak.
Adakah kita semakin ke belakang? Perkara itu amat subjektif untuk Dayang rungkaikan , tapi jawapan peribadi Dayang adalah, ya!
Menyedari masalah yang menimpa Harimau Malaya, Presidan FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan sepenuh kebebasan untuk merencana persiapan pasukan sama ada dari segi pemilihan barisan kejurulatihan dan juga pemain.
Tan Cheng Hoe Dayang rasakan sebenarnya amat arif dengan skuad kebangsaan kerana beliau pernah berkhidmat untuk tempoh yang agak lama selaku pembantu kepada Datuk K. Rajagobal. Beliau juga pakar dalam merencana taktikal dan permainan hantaran pendek seperti yang dipraktikkan bersama pasukan Kedah dahulu.
Dayang secara peribadi amat mengharapkan agar Harimau Malaya mampu kembali tampil garang membaham pasukan lawan seperti yang dulu-dulu.
Dayang rindukan sorakan kemenangan penyokong di stadium, Dayang rindukan riuh rendah sekeluarga apabila Malaysia menang sewaktu menonton siaran langsung di rumah, dan Dayang rindukan suasana dimana orang ramai memakai jersi kebangsaan dengan perasaan bangga. Jadi, tolonglah Ah Hoe kembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia!