Jika pemain perlu buat persiapan rapi sebelum mencabar sesuatu kejohanan, begitu juga dengan pengadil.
Eric Koh antara yang mencuri tumpuan pada Piala Sultan Azlan Shah 2017 di Ipoh, Perak kerana beliau sanggup ambil cuti bekerja di luar negara.
Pengadil Tahap Satu Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) ini bertugas sebagai juruterang syarikat penerbangan antarabangsa di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dengan gaji puluhan ribu ringgit.
Namun, minatnya tetap kepada hoki.
"Saya terikat dengan jadual tugas. Jadi, sukar untuk mengadili mana-mana kejohanan tempatan.
Apabila dimaklumkan mengenai Piala Sultan Azlan Shah 2017, saya terus memohon cuti daripada majikan dan mujur, mereka memahami.
"Ini semua sebagai persiapan ke Separuh Akhir Liga Dunia di London (England) di mana saya sudah mendapat arahan FIH untuk bersiap-sedia," katanya.
Setiap pengadil perlu melepasi ujian kecergasan untuk mengadili kejohanan besar seperti Separuh Akhir Liga Dunia.
Eric pernah bertugas di Antwerp, Belgium pada 2015 namun sayangnya ketika itu Malaysia gagal layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.
Selain Eric, Malaysia turut memiliki dua lagi pengadil Tahap Satu FIH iaitu R Anbanathan dan K Ilango.
Selepas Tahap Satu, peringkat seterusnya ialah Pembangunan Panel Dunia namun Malaysia tidak
mempunyai pengadil kelas itu.
Tahap tertinggi ialah Panel Dunia.
Antara pengadil negara yang pernah memegang lesen ini ialah Amarjit Singh yang bersara pada 2010.
Untuk Eric, selamat menjalankan tugas di Ipoh. Keputusan anda penting demi kemajuan hoki seluruh dunia.