Skip to main content

Rencana

Tiga sebab Hazard perlu sertai Real Madrid

e-hazard-2.jpg
Sejak permulaan musim 2018-19, bintang Chelsea, Eden Hazard, mula menutup mulut pengkritik dengan mempamerkan aksi cemerlang di bawah kendalian Maurizio Sarri dan kini berada di landasan terbaik untuk diangkat pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).
 
Prestasi Hazard bukan hanya bermula musim ini. Mtonggak utama dalam skuad Belgium dalam Piala Dunia 2018, sentuhan Hazard telah membantu Belgium melangkah ke separuh akhir dengan menjaringkan tiga gol dan dua bantuan jaringan dalam enam perlawanan.
 
Bersama Chelsea, Hazard kembali menemui sentuhan terbaik di bawah kendalian Sarri yang mengambil alih tugas Antonio Conte. Selepas lapan perlawanan, Hazard telah meledak tujuh gol dan tiga bantuan jaringan -- menghuni tangga teratas dalam persaingan Kasut Emas EPL.
 
Sejak beberapa minggu lalu, Hazard berulang kali meluahkan keinginannya untuk beraksi bersama Real Madrid dan Los Blancos turut tidak berahsia mengenai minat mereka terhadap penyerang tersebut.
 
Terdapat tiga sebab musim depan adalah waktu terbaik Hazard bertukar angin ke Sepanyol untuk beraksi dalam LaLiga.
 
Hazard mula berada di kemuncak prestasi
 

Kebolehan yang dimiliki Hazard berjaya membuka mata semua pihak dan musim 2018-19 menunjukkan dia mula menampilkan aksi lebih konsisten.
 
Tujuh jaringan dicipta musim ini -- bilangan yang menjangkaui pencapaiannya dalam semua kejohanan bagi musim 2015-16.
 
Pada musim 2016-17 dan 2017-18, Hazard menghasilkan 34 gol dalam 94 perlawanan dan melihat kepada statistik dan persembahan yang dipamerkan kali ini, tidak mustahil dia mampu menggandakan bilangan yang dihasilkan pada penghujung musim ini dan Real akan mula melambai memanggilnya untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu.
 
Mampu mengisi peninggalan Ronaldo
 

Selepas sembilan tahun, Cristiano Ronaldo akhirnya meninggalkan Real, sekali gus menyaksikan kekosongan yang ditinggalkan gagal tampung oleh seluruh pasukan. Gareth Bale dilihat sebagai pengganti tetapi sentuhan jaringannya tidak begitu konsisten seperti yang dimiliki Ronaldo.
 
Kehadiran Hazard membenarkan Bale untuk menampilkan aksi terbaiknya -- menembusi benteng pertahanan lawan manakala Hazard mampu bertindak sebagai penjaring gol utama -- sama seperti apa yang dilakukan untuk The Blues musim ini.
 
Pentas di Real kini menanti kehadirannya walaupun perhatian diletakkan kepada Bale, tetapi sudah tiba masa Hazard untuk menguji dirinya sendiri bersama kelab terbesar di Eropah.
 
Real mampu capai impian Hazard -- trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan Ballon d'Or.
 

UCL merupakan trofi yang belum dimenangi Hazard bersama Chelsea manakala Real telah memenangi tiga gelaran tersebut sejak tiga musim lalu. 
 
Ketiadaan Ronaldo secara tidak langsung merendahkan kebarangkalian pasukan untuk menjuarai UCL, dan semestinya presiden kelab, Florentino Perez, akan berusaha untuk mendapatkan pemain yang mampu mencipta impak, sekali gus memastikan pasukan memenangi gelaran.
 
Menyertai Real turut akan membuka jalan untuk Hazard menghidupkan peluang merangkul anugerah pemain terbaik dunia, Ballon d'Or.
 
Pencapaian serta memastikan kelab tersebut bersaing di pentas tertinggi saingan bola sepak Eropah akan meletakkan dirinya sebagai salah seorang pencabar anugerah tersebut -- ditambah pula bersaing secara terus dengan salah seorang pemain terbaik dunia, Lionel Messi.
 
 

Advertisement

Must Watch Video