Skip to main content

Advertisement

Rencana

Tidak mungkin Klopp dipecat tapi…

kulop-cover-pix.jpg

Kisahnya Liverpool bolos tiga gol dalam tempoh tujuh minit untuk rebah 1-3 yang menyaksikan Leicester City bangkit meraih kemenangan bermakna.

Sebelum sepak mula perlawanan di di Stadium King Power malam tadi lagi, harapan The Reds untuk mengekalkan kejuaraan liga semusim lagi sudah pun teramat tipis.

Kekalahan terbaru ini – di samping hanya menang tiga kali daripada 12 perlawanan terdahulu dalam semua pertandingan -- sekadar menutup terus peluang mereka seperti diakui sendiri pengurusnya, Jurgen Klopp.

Malah, dengan tiga kekalahan daripada tiga perlawanan terakhir, Liverpool boleh berjarak 16 mata di belakang Manchester City andai pasukan ‘bakal juara’ itu memenangi satu perlawanan dalam tangan.
Jika semua pasukan di bawah mereka memenangi perlawanan dalam tangan masing-masing, Liverpool akan melurut ke tangga kelapan daripada kedudukan keempatnya ketika ini.

Seperti yang banyak dilaporkan media British, Klopp sudah berulang kali ditanya sejak beberapa minggu terakhir ini sama ada pada perkiraannya mereka masih mampu mengatasi defisit di dalam kedudukan mata.

Sikap optimisnya tidak sedikit pun luak bahawa The Reds masih mampu bergelar juara tapi semua itu terpadam selepas ditundukkan Leicester hinggakan laman espn.com menyimpulkan barisan bimbingan Klopp itu sudah bertukar “daripada raksasa mental kepada jiwa-jiwa yang terseksa”.
 
 
 
 
 
Sidang akhbarnya selepas perlawanan itu memaparkan Klopp yang hampir menumpahkan air matanya tatkala mengakui pasukannya tidak lagi berupaya untuk memenangi kejuaraan.

Gambaran itu, seperti dikongsi penyokong Liverpool menerusi komen mereka di media sosial, amat meruntun perasaan untuk ditonton.

Benarlah, seperti disimpulkan oleh espn itu, Klopp – baru kehilangan ibunya berusia 81 tahun pada 19 Januari lalu -- tidak terkecuali daripada menghindarkan diri menjadi ‘jiwa yang terseksa’ berbanding keyakinan tinggi yang sering ditonjolkannya sebelumnya.

Reaksi sedemikian segera mengundang firma-firma pertaruhan, yang tidak dapat dipisahkan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL), untuk meletakkan Klopp sebagai pilihan hangat dalam kalangan pengurus yang bakal angkat bungkus.
 
 
 
 
Kebarangkalian untuk Klopp meninggalkan pasukan, menurut firma SkyBet, ialah 6/4 mengatasi Jose Mourinho and Roy Hodgson.

Betfair turut mengubah kebarangkaliannya daripada 50/1 sebelum ini kepada 5/6 selepas kekalahan kepada Leicester itu.

Akhbar sensasi British, The Sun, yang meletakkan kebarangkalian 10/1 untuk Klopp angkat kaki dari Anfield sehingga kelmarin, kini meningkatkannya kepada 4/7 dengan Liverpool kini sudah terkeluar daripada perlumbaan kejuaraan.

“Dengan Klopp telah mendatangkan trofi Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab dan kejuaraan EPL kepada Liverpool, tiada langsung kemungkinan kelab akan memecatnya biar seburuk mana pun kesudahan buat mereka musim ini,” lapor akhbar-akhbar British.

“Namun, mengambil kira permasalahan di dalam dan di luar padang, ia tidak akan lagi menjadi kejutan besar jika Klopp sendiri yang memilih untuk berundur,” tambah mereka.
 
 

 
Malah, seperti dilaporkan The Sun, penyokong Liverpool semakin khuatir sejarah Klopp pada musim terakhirnya bersama Borussia Dortmund mampu berulang.

Disebabkan permulaan hambar pada musim 2014-15, Klopp mengumumkan awal keputusannya untuk meninggalkan Dortmund – naib juara Bundesliga 2013-14 -- pada penghujung musim berkenaan.

Apatah lagi jika pasukan kebangsaan Jerman memerlukan pengurus baru pada akhir musim ini, apakah Klopp boleh menolaknya?

 

 
 

Advertisement

Must Watch Video