Skip to main content

Rencana

Terlucutnya mahkota Usain Bolt (bhg 1)

justin-gatlin-usain-bolt-cropped_1saetmujzovh211q62owchoqmx.jpg
Detik-detiknya dan penonton seramai 55,900 orang di Stadium London malam tadi semua adalah miliknya, dan Usain Bolt hanya beberapa saat daripada pengakhiran karier yang gilang-gemilang.

Tapi ia bukan rezekinya kerana tiada penyudahan sempurna buat Bolt yang bertegas bahawa ia adalah perlumbaan individu terakhir dalam karier berwarna-warninya yang tiada tandingan.

Pingat emas 100 meter dalam Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Dunia (IAAF) 2017 sebaliknya menjadi milik Justin Gatlin, pelari Amerika Syarikat berusia 35 tahun yang sekian lama menjadi musuh ketatnya di samping tidak pernah memenangi gelaran juara dunia 100m sejak 2005.

Malah, Gatlin telah dua kali menjalani penggantungan gara-gara kesalahan doping dalam kariernya dan – seperti di peringkat saringan dn separuh akhir – penonton mengejeknya sejurus sebelum perlumbaan akhir itu.

Berlari jauh di bahagian luar di lorong 8, Gatlin sampai dahulu di garisan penamat dengan catatan 9.92 saat, sekadar memintas rakan senegara yang baru berusia 21 tahun, Christian Coleman, dengan langkahan terakhirnya.

Gatlin melepaskan teriakan kegembiraan sambil meletak jari telunjuk ke bibirnya seolah-olah mahu menutup mulut penonton tatkala skrin gergasi memaparkan keputusan rasmi perlumbaan.

Coleman, yang bersaing dalam kejohanan dunia pertamanya, diisytiharkan pemenang perak dengan masa 9.94 saat, meninggalkan gangsa buat Bolt, yang catatan 9.95 saat miliknya adalah masa paling perlahannya dalam final 100m satu kejohanan utama.

Ia sama-sekali jauh di luar rekod dunia 9.58 saat yang dilakarnya di Berlin pada 2009.

“Saya minta maaf saya tidak dapat menamatkannya dengan nota kemenangan,” kata Bolt, genap 31 tahun bulan ini, seperti dipetik dalam rencana khas The New York Times.

Ia seakan-akan sangat tidak bertepatan. Namun, tidak perjalanan hidup ini mahupun kejohanan olahraga yang menepati sesuatu skrip.

Musim buat Bolt ternyata terlajak satu selepas pencapaian tiga emasnya dalam Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

Pada 2017, dan terutama sekali malam tadi, dia gagal menyerlahkan kepantasan yang diperlukan. Tetapi Bolt menegaskan kekalahan itu tidak akan mengubah pelan persaraannya.

“Ia tidak mengubah apa-apa buat saya,” katanya. “Saya fikir saya tewas perlumbaan ini kepada seorang pesaing yang hebat.”

Merujuk kepada Coleman, Bolt menambah: “Saya di tempat ketiga di belakang seorang pelari muda yang sedang meningkat naik. Dia seorang bakat hebat dan memiliki masa depan yang cerah.

“Jadi, tiada sesalan buat saya. Saya telah melakukan yang terbaik. Karier saya tetap akan berakhir tanpa mengira apa yang berlaku – menang, kalah atau seri. 

“Saya sentiasa mahu berundur. Saya telah lakukan segala yang saya termampu untuk sukan ini dan juga diri sendiri. Masanya sudah tiba untuk saya berlalu pergi.”
(bersambung)

 

Advertisement

Must Watch Video