Skip to main content

Rencana

Terima kenyataan badminton sedang tenat

240517-chong-wei.jpg
Kenapa saya katakan badminton negara sedang tenat? Satu ketika dahulu persoalan yang bermain untuk skuad kebangsaan adalah, mampukah Malaysia mencatat kejuaraan untuk saingan Piala Thomas dan Uber? Tetapi ceritanya berubah ketika ini kerana persoalan kita adalah, mampukah Malaysia melayakkan diri ke saingan Piala Thomas/Uber di Bangkok 2018 nanti?

Menjuarai kejohanan dan melayakkan diri ke kejohanan terbabit menunjukkan betapa besarnya jurang prestasi dan kelonggaran pasukan negara.Lebih-lebih lagi menjelang saingan Kejohanan Berpasukan Asia bermula 6-11 Feb ini.

Ketika negara hanya dapat menamakan seketul dua nama yang boleh diharapkan mengharumkan negara, tapi bagaimana ceritanya dengan saingan secara berpasukan ini?

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memperbaiki mutu pasukan badminton negara termasuklah penstrukturan semula sistem kejurulatihah, pemberian insentif yang lebih kepada jurulatih dan juga pemain. Penubuhan empat akademi juga termasuk dalam usaha bagi membangunkan badminton negara.

Tetapi di mana silapnya? Mengapa skuad badminton negara seakan makin suram prestasinya. Bagi saya,tiada yang silap untuk masa kini.

Kita hanya perlu menerima hakikat bahawa prestasi dan pembangunan kita agak terlewat dari yang lain. Ketika skuad kebangsaan sedang berada di puncak satu ketika dahulu, kita terlena dari tindakan agresif mencari pelapis-pelapis sebagai skuad susulan selepas generasi hebat sebelumnya.

Jadi, tiada yang silapnya sekarang, kerana kita hanya harus akur bahawa kita tidak akan dapat hasil kejayaan tersebut pada hari ini.Usaha pihak pembangunan badminton dan pengurusan kita sememangnya sedang bertungkus lumus mengembalikan kemantapan pasukan badminton negara.

Namun sesebuah kejayaan itu bukanlah dapat dikecapi dalam masa sehari. Kita hanya perlu akur bahawa skuad badminton negara sedang melalui fasa suram. Bagaimanapun tidaklah mereka berdiam diri,tetapi usaha pada hari ini sukar bagi mendatangkan hasil dalam masa terdekat ini.

Kita hanya perlu terus memberi sokongan,dan berdoa agar skuad badminton Malaysia dapat kekentalan sepenuhnya semula,suatu hari nanti.

Advertisement

Must Watch Video