"Kalau nak main basikal biar sampai Olimpik".
Itu pesanan jurulatih pertama Azizulhasni Awang, Allahyarham Rozimi Omar ketika The Pocketroketman masih remaja.
Tahun demi tahun, Azizul membesar jadi pelumba hebat dengan pelbagai pingat Sukan Sea, Siri Piala Dunia Klasik, Kejohanan Dunia , Sukan Asia, Komanwel hingga gangsa Sukan Olimpik.
Siapa sangka seorang pelumba bertubuh kecil dari Dungun, Terengganu mampu menggegar Sukan Olimpik Rio 2016?
Perjuangan Azizul di Velodrom Olimpik Rio bukan mudah.
Dia gagal pada pusingan pertama, terpaksa melalui repechage dan raih tangga ketiga separuh akhir untuk layak ke final.
Final keirin lelaki cukup sensasi.
Jaguh Great Britain, Jason Kenny jadi pilihan utama, juara dunia, Joachim Eilers (Jerman) memiliki kuasa pecutan hebat sementara Fabian Hernando Puerta Zapata, ranking pertama dunia.
Tetapi Azizul juga bukan calang-calang pelumba.
Dia pernah merangkul perak dan gangsa kejohanan dunia, satu-satunya pelumba Asia berjaya ke final malah turut diletakkan sebagai pilihan.
Dua perlumbaan awal dibatalkan selepas pelumba memintas 'derny'. Situasi itu menambah tekanan kepada enam pelumba final namun Azizul nampak tenang.
Saingan bermula dan Azizul berada di kelompok depan, Kenny terlebih dulu memulakan henjutan pada 200m terakhir dan ia disedari Azizul.
The Pocketroketman cuba mengejar namun sudah terlewat sekaligus terpaksa berpuas hati dengan gangsa.
"Semua penat lelah saya berbaloi. Saya tinggalkan keluarga, berlatih hampir 10 jam sehari, cedera dan akhirnya raih gangsa.
"Terima kasih kepada semua yang membantu. Ini semua untuk anda!" kata pelumba berusia 28 tahun ini.
Saya kemudian ditugaskan membawanya ke studio Astro Arena. Dalam perjalanan saya sempat bertanya: "Ingat lagi tak arwah Rozimi?
"Saya terhutang budi. Dia antara jurulatih yang mengesan bakat saya hingga terpilih mewakili Terengganu.
Disitulah segalanya bermula hingga gangsa hari ini," katanya.
Kejayaan Azizul akan diraikan peminat tanah air. Dia akan diangkat sebagai wira sukan negara. Terima Kasih Azizul, anda main basikal sampai dapat pingat Olimpik.