Skip to main content

Rencana

Terengganu hebat

terengganu.jpg
Keinginan yang tinggi untuk ke perlawanan akhir dan semangat juang berpasukan yang begitu tinggi tanpa mengenal erti penat sehingga masa tamat, membawa kejayaan kepada pasukan Terengganu.

Dengan keputusan seri 2-2 di Larkin, Johor Bahru, ia telah melayakkan Terengganu ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 setelah menyingkirkan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT), dengan agregat 3-2.

Kemenangan ini sudah pasti melegakan ketua jurulatih mereka, Irfan Bakti Abu Salim, yang berjaya mengangkat martabat bola sepak Terengganu.

Buat pemain-pemain Terengganu, terutama ketua pasukan, Tchetche Kipre, sudah pasti ia menjadi satu sejarah kepada dirinya kerana berjaya menjaringkan dua gol bermakna yang akan terpahat di dalam memori rakyat Terengganu.

Dengan nilai kepimpinan yang tinggi, Kipre yang disokong Lee Tuck, Igor Zonjic dan Chanta Bin memberi kekuatan luar biasa kepada pemain-pemain tempatan di atas padang.

Percaturan strategi Irfan juga banyak membantu Terengganu. Inilah diibaratkan perjuangan sehingga ke titisan darah terakhir yang ditonjolkan oleh pemain-pemain Terengganu.

Bagi pemain-pemain JDT pula, ini satu pengajaran yang berguna kepada mereka kerana dengan status pasukan pilihan dan berpengalaman, pemain-pemain yang mereka ada belum memastikan kemenangan, sebaliknya ia mengajar supaya menjadi pemain yang sentiasa merendah diri dan mengekalkan disiplin yang tinggi.

Sekali lagi, tahniah kepada Terengganu bukan sahaja kerana berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia -- selepas kali terakhir pada 2011 -- tetapi Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berjaya mengangkat dan menjulang bola sepak negeri itu ke tahap yang tinggi.

Tahun ini pasukan-pasukan di bawah PBSNT telah banyak ke perlawanan akhir seperti Piala Cabaran, Piala Presiden, Piala FAM, Piala Belia, Piala Emas Raja-Raja dan yang terbaru, Piala Malaysia.

Sudah pasti Terengganu akan menjadi contoh kepada pasukan-pasukan lain dalam sistem pembangunan di peringkat akar umbi.

Advertisement

Must Watch Video