Skip to main content

Rencana

Terbaik daripada yang terbaik

malaysia-b22-lwn-indonesia-b22_0.jpg
"Boleh dikatakan sebagai jurulatih dalam empat edisi Sukan SEA, ini yang paling sukar" Itu pengakuan jurulatih bola sepak Sukan SEA negara Datuk Ong Kim Swee ketika mengulas mengenai pemilihan akhir 20 pemainnya untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Penulis secara peribadi bersetuju dengan pengakuan Kim Swee memandangkan kesemua 28 pemain yang menjalani sesi pemilihan terakhir memiliki kelebihan masing-masing dan jurang prestasi di kalangan mereka juga tidak begitu jauh berbeza.

Itu juga yang diakui Kim Swee ketika mengumumkan senarai 20 pemain pada sidang media di ibu negara pada Sabtu, dua hari sebelum aksi pertama Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam.

Sememangnya, ada sedikit kejutan mengenai senarai pemain yang digugurkan, namun bagi penulis yang mengikuti rapat perkembangan skuad muda negara sejak dibimbing Frank Bernhardt hujung tahun 2015, ia adalah barisan terbaik daripada yang terbaik.

Penulis melihat saingan kelayakan AFC Bawah 23 Tahun di Bangkok, Thailand bulan lalu benar-benar menjadi penanda aras buat Kim Swee untuk melakukan pemilihan kali ini.

Sebagai contoh pemilihan terhadap Danial Amier Norhisham, Akhyar Rashid, Irfan Zakaria dan beberapa pemain lain jelas adalah berdasarkan prestasi mereka sepanjang berada di Bangkok tempoh hari selain aksi menyakinkan bersama pasukan masing-masing dalam kancah Liga Malaysia.

Timbul cakap-cakap 'nakal' mengapa enam pemain yang tidak menyertai skuad muda negara ke Bangkok gara-gara tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing disenaraikan?

Ini pandangan penulis, enam pemain itu memang diperlukan mengikut keperluan posisi terutama pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih dan pemain serba boleh Pulau Pinang Syamer Kutty Abba. Kedua-dua pemain itu mampu bertindak sebagai pemain tengah bertahan di mana Kim Swee tidak mempunyai watak itu ketika saingan kelayakan AFC tempoh hari.

Jadi keseluruhannnya, barisan akhir 20 pemain ini tampak seimbang dengan beberapa pemain juga mampu bermain lebih daripada satu posisi antaranya Syamer, Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari.

Penulis juga ingin memberi kredit kepada Ahmad Khairil Anuar Zamri yang mesra disapa Beto kerana tidak berputus asa untuk mencuba nasib mewakili negara pada saat dan ketika dia dihimpit dengan kecederaan.

Mungkin, bukan rezeki Beto dan tujuh pemain lain yang digugurkan seperti Danial Ashraf Abdullah dan penjaga gol Amierul Hakimi Awang yang turut menyerlah ketika ini. Mereka masih berpeluang menyarung jersi negara pada Kejohanan AFC bawah 23 di China, tahun depan.

Advertisement

Must Watch Video