Skip to main content

Rencana

Tenanglah kau di sana Norizman

norizman-ismail_1.jpg
Hampir semua rakyat Malaysia khususnya peminat sukan permotoran tempatan tidak percaya dengan berita pemergian penunggang motosikal profesional, Norizman Ismail yang terlibat dalam kemalangan ketika sesi ujian masa di pusingan ketiga Kejohanan Cub Prix yang berlangsung di Kemaman, Terengganu.

Ajal itu tidak kenal sesiapa, dan tiada siapa ketahui bila dan waktunya akan tiba.

Siapa sangka 4 hari lalu di laman Instagram milik Norizman, dia mengucapkan Selamat Hari Buruh sambil melakukan aksi "pacak", kini Malaysia bakal merindui kelibat Norizman yang sudah tiada lagi.

Kali terakhir saya bertemu Norizman adalah pada tahun lepas ketika saingan Kejuaraan Motosikal Asia di Buriram, Thailand. Norizman beraksi dalam kategori Underbone 130cc dan saya agak sayu mengenang kembali pengalaman saya membuat liputan Allahyarham ketika itu.

Ia membuatkan saya terkenang satu video profil Norizman, menceritakan sejarah dan pendapatnya tentang sukan permotoran, salah satu impiannya yang tidak kesampaian adalah beraksi di saingan tertinggi iaitu di MotoGP, dan juga untuk mengembangkan perniagaannya, iaitu bengkel membaiki motosikal yang dinamakan BJC Motorsport terletak di Sungai Buloh, Selangor.

Tidak ramai yang tahu Norizman bermula dengan kategori "motorcross" sebelum beralih ke "road racing", dan pengaruh terbesar adalah bapanya.

Norizman bukan calang-calang pelumba, memulakan karier sekitar 2004, dan pernah dua kali dinobatkan sebaga juara kategori "Expert" (kategori perdana dalam saingan Cub Prix ketika itu) pada tahun 2005 dan 2011.

Di peringkat Asia, Norizman pernah muncul tempat kedua keseluruhan bagi kategori Underbone 130cc bersama pasukan Harian Metro Y Teq SCK Honda.

Al Fatihah buat Allahyarham Norizman Ismail, Moga Tuhan tempatkannya bersama orang-orang beriman.

kredit foto : Cub Prix Malaysia

Advertisement

Must Watch Video