Skip to main content

Rencana

Temui Neymar, si ‘drama king’

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

niama.jpg
Kepada peminat Brazil, Neymar adalah idola dan simbol kecemerlangan bola sepak Samba masa kini. Kepada yang tidak menyanjunginya pula, Neymar tidak lebih seorang karyawan tipu-daya.

Perlawanan Brazil-Costa Rica yang hanya dimenangi skuad Selecao itu dengan dua gol Philippe Coutinho dan Neymar dalam masa kecederaan awal hari ini, mendedahkan sisi buruk bintang berjersi nombor 10 itu yang tergamak untuk melakukan apa saja demi mendapatkan kemenangan.

Jelas sekali, terdapat dua sisi berbeza pemain ini yang sama ada merangsang atau menjengkelkan – dia mampu mengambil alih permainan dengan kebijaksanaan individunya atau pada ketika yang lain, tergamak untuk menipu dengan lakonan selaku mangsa kekasaran atau kerakusan lawan.

Kelicikannya untuk mengundang faul ke atasnya dengan helah untuk mendapatkan sepakan penalti atau sepakan percuma yang memungkinkan jaringan, telah menjadi sebahagian modus operandi penyerang ini yang sudah kerap memperdayakan pengadil berpengalaman sekalipun.




Salah seorang pengadil terbaik dunia, Björn Kuipers dari Belanda, turut menjadi mangsanya pada minit ke-79 perlawanan awal hari ini. Menunjukkan dari awal ketegasannya untuk tidak sentiasa memihak kepada penyerang Brazil itu, Kuipers terpedaya juga kemudiannya.

Kuipers memberikan sepakan penalti kepada Brazil gara-gara Neymar kelihatan dihalang Giancarlo Gonzalez, yang jelas dibantah keras pemain-pemain Costa Rica. Ulang tayang Video Bantuan Pengadil (VAR) menunjukkan sentuhan minimum oleh Gonzalez sambil Neymar didapati melakukan simulasi dengan gaya merebahkan badannya ke belakang.

Lantas, keputusan menganugerahkan sepakan penalti itu dibatalkan dan Neymar harus bertuah tidak dikenakan kad kuning.





Apa yang menjengkelkan mengenai Neymar ialah betapa dia berasakan sentiasa perlu mendapat keuntungan daripada keputusan pengadil, namun pengenalan VAR kini dapat menelanjangi simulasi pemain sepertinya.

Neymar amat taksub dengan “kelebihan” itu hingga mahu bersemuka dengan Kuipers di dalam terowong pemain ketika rehat separuh masa, namun dihalang berbuat demikian oleh rakan-rakan sepasukan.

Maka, tidak hairanlah dia dicemuh dan dipersendakan melalui media sosial dengan ramai yang menggelarnya sebagai penipu terhebat dalam Piala Dunia kali ini.

Seorang daripada mereka mengumpamakannya dengan seekor kambing yang sedang pengsan, seorang lagi menyamakannya dengan seekor ikan paus yang membuat terjunan dan tidak ketinggalan juga, laksana seekor penguin yang tergelincir di atas permukaan ais.

Namun, dalam memberi keadilan kepada Neymar, dia juga kerap menjadi mangsa rempuhan dan terjahan kasar pemain-pemain Costa Rica yang memilih untuk mencontohi taktik pemain Switzerland yang banyak mengasarinya dalam perlawanan terdahulu.

Satu paparan televisyen selepas perlawanan dengan Costa Rica itu menunjukkan stokinnya yang terkoyak di beberapa bahagian – bukti dia kerap dikasari atau provokasinya sendiri mengundang untuk dijatuhkan.

Namun, ia tidak harus memberikannya cukup alasan untuk diingati selaku seorang karyawan tipu-daya.
 

Advertisement

Must Watch Video