Skip to main content

Rencana

Tan Cheng Hoe berjaya

tan-cheng-hoe.jpg
Kelewatan pemain-pemain Malaysia menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan keadaan sekeliling di Stadium My Dinh, Hanoi pada minit-minit awal separuh masa pertama memberi kelebihan kepada Vietnam untuk memastikan mereka mendominasi permainan dan berjaya melakukan jaringan awal pada minit keenam oleh Nguyen Anh Duc dalam aksi final kedua Piala Suzuki AFF, kelmarin.

Itulah detik-detik yang meranapkan impian Harimau Malaya dan rakyat Malaysia secara amnya. 

Namun, secara keseluruhan, permainan yang dipamerkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe tidak membosankan sebaliknya berjaya menguasai permainan dengan ketepatan hantaran dan falsafah bola sepak Malaysia yang menghiburkan.

Walaupun tidak berjaya menjuarai Piala AFF 2018 edisi ini, namun Tan Cheng Hoe bersama pasukan kejurulatihannya dan anak-anak buahnya telah berjaya memenangi hati dan perasaan rakyat Malaysia. 

Inilah yang ingin dilihat oleh pemerhati bola sepak dan peminat-peminat negara. 

Tan Cheng Hoe telah berjaya mewujudkan satu falsafah bola sepak Malaysia diperingkat antarabangsa walaupun masih ada sedikit kelemahan terutama daripada aspek teknikal pemain dalam membuat keputusan yang tepat dan pantas.

Ini semua boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Yang lebih penting adalah kerjasama di antara Tan Cheng Hoe dan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Peter De Roo kelihatan amat baik sekali. 

Sudah sampai masanya untuk ahli-ahli gabungan (Persatuan Negeri) memainkan peranan menghasilkan program-program akar umbi dalam meyalurkan maklumat tentang falsafah bola sepak Malaysia terutamanya kepada jurulatih-jurulatih di peringkat akar umbi, selain program-program FAM bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN).

Tahniah kepada Tan Cheng Hoe, barisan kejurulatihan dan pemain-pemain Harimau Malaya kerana telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dan telah membuktikan anda boleh menangkis segala persepi dan pemikiran negatif segelintir masyarakat Malaysia terhadap Skuad Harimau Malaya di Piala AFF 2018 ini.

Advertisement

Must Watch Video