Skip to main content

Rencana

Tak malu ke tarik diri?

201216mokhtar.jpg
Mula-mula Kelantan, berjangkit ke Perlis dan terbaharu, sebuah lagi pasukan yang penuh dengan tradisi, Selangor, pula buat kenyataan mahu menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim depan.

Semuanya atas alasan sama iaitu kerajaan negeri tidak mahu beri sebarang dana dan tidak ada daya mencari sumber kewangan sendiri.

Bukan sesuatu yang memeranjatkan juga jika lihat situasi sedemikian boleh berlaku tetapi itulah yang terjadi bila pengurusan bola sepak kita masih di tahap amatur.

Tanpa suntikan kewangan daripada pihak ketiga, memang terlalu sukar melihat sebuah pasukan itu mampu dengan bernyawa sendiri.

Jika hendak bandingkan mutu pengurusan bola sepak kita dengan luar negara malah jiran paling terdekat, Thailand, rasanya kita terlalu jauh ketinggalan.

Namun hendak salahkan seratus peratus pihak pengurusan pun tidak boleh kerana nilai pemasaran bola sepak di Malaysia masih terlalu rendah atau dipendekkan cerita, memang tiada nilai.

Perbelanjaan hampir RM15 ke RM20 juta setahun, namun ganjaran kemenangan hanya beberapa ratus ribu dan termasuk duit hak penyiaran serta geran daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada setiap pasukan bertanding kepada pasukan bertanding, balik modal ke?

Bagi penulis, pasukan yang menaja pun seperti kurang mendapat banyak faedah secara langsung dan tidak masuk akal mahu menaja berjuta-juta ringgit kepada mana-mana pasukan.

Ada beberapa formula untuk selesaikan masalah ini iaitu antaranya gabungan pasukan bola sepak negeri dan syarikat korporat yang ada minat tinggi terhadap sukan nombor satu negara ini.

Modul ini ada diguna pakai di Korea Selatan yang mendapat ada beberapa kelab dapat dokongan kuat daripada syarikat gergasi di sana seperti Suwon Samsung Bluewings dan Jeonbuk Hyundai Motors.

Mungkin pendekatan ini tidak popular tetapi sekurang-kurangnya dapat selamatkan nama negeri daripada pupus di saingan Liga Malaysia.

Satu lagi pendekatan boleh diguna pakai memerlukan perubahan pucuk kepimpinan di FAM iaitu menambahkan lagi duit hak penyiaran kepada setiap pasukan bertanding.

Hal ini pernah dibangkitkan oleh Penaung Diraja, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tetapi sehingga kini masih belum mampu direalisasikan.

Namun, di sini memang satu persoalan juga kerana adakah Liga Malaysia sememangnya bernilai tinggi yang membolehkan FAM beri peruntukkan tinggi kepada setiap pasukan?

Tepuk dada, tanya selera...Apa-apa pun, penulis harap musim 2017 akan berlangsung dengan meriah tanpa ada penarikan diri dari mana-mana pasukan.
 

Advertisement

Must Watch Video