Skip to main content

Rencana

Tahun depan tahun kalian, Liverpool

taunt.jpg
Kemuncak kepada musim 2018/19 Liga Perdana Inggeris (EPL) tengah malam tadi tidak hanya diraikan penyokong Manchester City yang tampil juara sekali lagi.

Malah, ia turut menggembirakan peminat semua pasukan lain yang mahukan City memenanginya atas apapun sebab asalkan bukan Liverpool yang berjaya.

Laman talksport.com menyimpulkan bahawa sejurus saingan musim ini hanya menjadi perlumbaan satu lawan satu di antara The Citizens dan The Reds, penyokong kelab besar lain di England rata-rata memihak City dengan harapan ‘kemandulan’ Liverpool akan berpanjangan.

Malah, bukan saja di England, di Malaysia juga keadaannya tidak berbeza.

Liverpool tidak pernah memenangi liga sejak kali terakhir menjuarainya di bawah kendalian Kenny Dalglish dengan skuad yang turut diperkuatkan John Barnes dan Ian Rush pada 1990 dan belum pernah unggul selepas Liga Perdana diperkenalkan pada 1992.

Dengan keputusan tengah malam tadi – City mengalahkan Brighton and Hove Albion 4-1 untuk menghimpun 98 mata, satu mata mengatasi Liverpool yang menang 2-0 ke atas Wolves – harapan penyokong “asalkan bukan Liverpool” dipenuhi jua.



Seiring dengan itu, reaksi pertama mereka ialah memanfaatkan media sosial dengan komen-komen sinis terhadap penyokong The Reds, dan yang terutama haruslah peminat Manchester United yang tidak mempunyai apa-apa berkaitan pasukan sendiri yang boleh disorakkan.

"Penyokong Liverpool mahu terus bercakap soal angka dengan kesudahannya menghimpun 97 mata. Saya punya satu lagi perangkaan: Sudah 10,606 hari sejak mereka menjuarai liga. Mungkin tahun depan adalah tahun mereka," kata tweet TheManUtdWay.

“Ketidakupayaan Liverpool mengalahkan skuad terburuk United dalam sejarah EPL membawa kepada kegagalan mereka memenangi liga,” kata satu tweet lain KaiWayne.

Kedua-dua pasukan seri 0-0 di Old Trafford, 24 Februari lalu, ketika Liverpool tidak mampu keciciran mata untuk terus mengenakan tekanan ke atas City.

“Liverpool meraih 97 mata, tewas hanya satu perlawanan, bek tengah mereka menang pemain terbaik tahunan, penjaga gol mereka menang anugerah sarung tangan emas serta dua penyerangnya berkongsi anugerah kasut emas.

“Maka, ia benar-benar menghairankan yang mereka tidak menang liga,” ciap VieiraPaddy pula. Aduh ini benar-benar pedih.

Dalam nada lebih serius, TweetChelseaUK menyimpulkan: “Liverpool melepaskan pendahuluan sembilan mata dalam Liga Perdana… tapi masih ada yang beranggapan mereka kurang bernasib baik dan masih pasukan terhebat!”

Harus juga tepat dua tweet berikut buat menyejukkan hati penyokong The Reds.

“Usah khuatir penyokong Liverpool, tahun depan adalah tahun kalian,” ciap ZRobertshaw sambil WozzerDj menyambung: “@LFC tahun depan adalah tahun kalian. Mungkin.”
 
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, di sebalik akur City lebih berhak musim ini, tidak dapat menerima sindiran, khususnya daripada penyokong pasukan musuh ketat, Manchester United, yang mempersendakan kebuntuan gelaran kelab itu selama 29 tahun.
 
“Mereka yang menyindir kemarau gelaran kelab ini memiliki masalah yang lebih besar di kelab mereka sendiri,” jawabnya tanpa berselindung ia dimaksudkannya kepada penyokong United – yang menamatkan musim ini di tangga keenam dengan turut tewas 0-2 kepada pasukan ketiga tercorot, Cardiff City, malam tadi.
 

Advertisement

Must Watch Video