Percaturan Tan Cheng Hoe menurunkan Nazmi Faiz Mansor, Nor Azam Azih bergandingan bersama Brendan Gan di bahagian tengah selain dibantu oleh Arif Aiman dan Akhyar Rahsid di bahagian sayap ketika bertemu Thailand telah membuahkan hasil untuk skuad negara.
Dengan meletakkan pemain-pemain muda itu di dalam kesebelasan utama skuad negara itu ia telah merubah corak rentak permainan Malaysia dan keyakinan yang dipamirkan mereka amat tinggi sekali.
Lihat sahaja bagaimana kombinasi yang baik di antara Nazmi Faiz dan Nor Azam sehingga memberi tekanan pertahanan lawan.
Kreativiti dan ketenangan mereka itu telah memudahkan peranan yang dimainkan Arif Aiman dan Akhyar Rashid sebagai pemain sayap untuk melakukan hantaran-hantaran lintang selain bermain mengikut asas DNA dan Falsafah bola sepak Malaysia.
Ini yang diinginkan peminat-peminat bola sepak Malaysia yang mahukan pemain-pemain muda yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta keinginan yang membara untuk menewaskan lawan.Dengan sikap dan karektor mereka itu telah berjaya membawa satu semangat kerja berpasukan yang jitu kepada rakan-rakan senior mereka.
Kerjasama dan keinginan yang tinggi sebagaimana yang dipamirkan semalam adalah yang terbaik ditonjolkan pemain-pemain Malaysia sepanjang pusingan kedua kelayakkan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Inilah kesannya sekiranya pemain-pemain diberikan keyakinan serta kebebasan berfikir untuk menterjemahkan kemampuan serta kreativiti mereka dalam mencorakkan permainan berlandaskan taktikal dan strategi yang telah dirancang jurulatih. Ini akan menjadi contoh dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada pemain-pemain yang di panggil untuk mejalankan tugas mewakili negara pada masa hadapan.
Sementara itu, penulis juga ingin mengucap tahniah kepada pemain-pemain negara yang berjaya mengawal emosi dan tekanan yang mereka terima daripada peminat-peminat bola sepak Malaysia yang begitu dahagakan kejayaan.
Dengan kekuatan itu mereka telah berjaya meletakkan nama Malaysia untuk bersaing ke pusingan tiga Piala Asia 2023.
Kejayaan itu juga membuatkan seluruh rakyat Malaysia terus bersatu memberi sokongan dan dokongan kepada mereka baik ketika kalah ataupun menang.