Skip to main content

Rencana

Tagih kuda tua

i.jpg
Penyerang AC Milan, Gonzalo Higuain, dikhabarkan menyatakan hasratnya untuk berpindah ke Liga Perdana Inggeris menyertai Chelsea apabila jendela perpindahan bulan Januari 2019 dibuka nanti.

Ketika ini, Higuain adalah pemain berstatus pinjaman daripada Juventus ke AC Milan dengan pembiayaan sejumlah 18 juta Euro (RM85 juta). Di penghujung tempoh pinjaman tersebut, Milan mempunyai pilihan untuk membelinya secara tetap dengan kos 36 juta Euro (RM171 juta) tetapi Milan kurang berminat meneruskan khidmatnya, lebih-lebih lagi dengan prestasinya yang kurang meyakinkan dalam sepuluh penampilan terakhir.

Angin perpindahan beliau ke Chelsea semakin kencang apabila Pengurus The Blues, Maurizio Sarri, menyatakan hasrat untuk bekerjasama kembali setelah kali terakhir mereka bersama di Napoli. Perkara itu dikuatkan lagi dengan spekulasi yang mengatakan dua penyerangnya, Alvaro Morata dan Oliver Giroud, tidak berada dalam perancangan Sarri.

Sarri mahu Chelsea segera melakukan rombakan ke atas barisan depan dalam jendela perpindahan Januari dan Higuain adalah antara nama yang disebut dalam senarai pendeknya.

Pengurusan Juventus dan Milan juga sudah dimaklumkan mengenai kemahuan Higuain supaya melepaskannya ke Chelsea pada bulan Januari nanti. Sebagai balasan, Milan boleh menggunakan khidmat Morata dengan status pinjaman selama 18 bulan.

Semasa di Napoli,, Higuain telah mencetuskan sensasi apabila beliau mencipta rekod Serie A dengan menjaringkan 36 gol dalam kempen 2015/16. Selepas itu Higuain membuat keputusan memeranjatkan apabila menyertai Juventus dan membuatkan Sarri berang dengan keputusannya. 

Ternyata keputusannya ke Juventus adalah suatu keputusan yang kurang tepat apabila beliau gagal menyerlah dan terpaksa dipinjamkan ke AC Milan. Namun, Sarri tetap yakin dengan kemampuan pemain berusia 31 tahun itu dan menyifatkan Higuain adalah seorang penyerang yang berkaliber dan berkarisma.

Advertisement

Must Watch Video