Skip to main content

Rencana

'Support System' Robert Lewandowski

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lewandowski.jpg
Bekas Pengurus Bayern Munich, Pep Guardiola, pernah berkata Robert Lewandowski adalah antara pemain bola sepak paling profesional pernah dibimbingnya. 

Pemain antarabangsa Poland itu tidak perlu diingatkan tentang kejohanan yang menanti, latihan mahupun diet yang sesuai sebagai penyerang utama tetapi siapakah insan yang berdiri dibelakangnya?

Lewandowski bakal menyambut ulangtahun ke-31 pada Ogos ini, namun setakat ini tiada pihak yang pernah mempersoalkan kecergasannya atau membandingkan sumbangannya dengan pemain lebih muda.

Antara rahsia kekal cergas yang pernah dikongsikan Lewandowski kepada media adalah latihan sendiri yang dilakukannya di gimnasium yang terdapat di kediamannya, termasuk pada hari cuti. 

Pemain yang menyarung jersi Bayern sejak 2014 ini cukup bertuah kerana mempunyai ahli keluarga yang sangat memahami kerjayanya yang sibuk.

Ayah Lewandowski, Krzysztof, bekas atlet judo, berkeras mahu menamakan anaknya Robert kerana lebih mudah untuk disebut masyarakat dunia berbanding nama tradisi Poland.

Ibunya, Iwona, bekas pemain bola tampar pula begitu teruja menerima kehadiran bekas atlet karate, Anna, sebagai ahli keluarga sukan ini pada 2013.



Perkongsian hidup Lewandowski dengan Anna memberikan manfaat yang cukup baik buat ayah kepada Klara yang dilahirkan pada 4 Mei 2017 ini.

Sebagai isteri yang pernah aktif dalam sukan dan kini bergelar pakar nutrisi, Anna berperanan besar dalam menguruskan keluarga dan menjadikan gaya hidup sihat sebagai rutin harian mereka tetapi masih menikmati keindahan hidup seperti meraikan sesuatu dengan hidangan manis.

"Isteri saya adalah 'jurulatih kecergasan' saya dan dia lebih tahu tentang apa yang baik untuk badan saya. Dia sangat bagus dalam perkara ini sehingga ramai pemain bola sepak yang turut mahukan khidmat nasihatnya."

Perdedahan Lewandowski tentang isterinya yang dibuat menerusi laman web rasmi Bayern itu cukup menarik kerana ia menjawab persoalan tentang displin hebat pemain yang turut mencipta nama bersama Borussia Dortmund  pada 2010 hingga 2014.

Lewandowski sudah menjalani sembilan musim cemerlang, dengan sekurang-kurangnya beraksi dalam 30 perlawanan - bayangkan berapa jam tenaganya dikerah dalam pembabitannya bersama dua pasukan gergasi Jerman yang sentiasa bersaing dalam perebutan kejuaraan bundesliga.

Namun, amat jarang sekali berita tentang kecederaan membelenggu Lewandowski dilaporkan. 

Jelas, pengetahuan Anna bukan sahaja dimanfaatkan untuk memastikan Lewandowski mendapat nutrisi lengkap dan optimum setiap hari, malah suaminya diajar ilmu pengetahuan sesuai untuk adaptasi sekiranya bertugas di perantauan dan paling penting, mampu mengurangkan risiko kecederaan.

Selepas membantu bayern kembali menjulang kejuaraan berganda tahun ini, Lewandowski nampaknya tidak teragak-agak untuk terus menyumbang bakti bersama pasukan dengan pengumumannya untuk kekal di Jerman buat tahun ke-10 dan terus menjadi inspirasi sebagai pemain paling cergas di bundesliga dengan tips - nikmati pencuci mulut sebelum mengambil makanan utama kerana ia aturan komponen makanan yang lebih baik untuk penghadaman. 
 

Advertisement

Must Watch Video