Skip to main content

Rencana

Sukan SEA: Bukan lagi temasya kampungan

stadium-bukit-jalil-170817-2_1.jpg
Kehadiran juara dunia dan pemenang pingat Olimpik angkat martabat Temasya rantau ini.

Sekalung tahniah buat kontinjen Harimau Malaysia yang ketika artikel ini ditulis sebagai berhasil menghimpun sejumlah empat pingat emas. Menariknya Kuala Lumpur 2017 Sukan Sea ke-29 
menyaksikan Temasya Serantau ini sudah menginjak kepada usia 58 tahun. 

Pertama kali diperkenalkan pada 1959 daripada hanya 12 sukan kini sudah berkembang kepada lebih 35 sukan yang merangkumi pelbagai sukan daripada yang dipertandingkan di peringkat Olimpik hinggalah kepada sukan yang berbentuk tradisional.

Sukan Sea pernah satu ketika dilabel sebagai Temasya Sarkis atau Temasya Kampungan. Namun semua panggilan-panggilan sinis itu sudah tiada apabila semua negara peserta menerima hakikat bahawa Sukan Sea adalah unik dan tiada kejohanan sukan yang boleh dibandingkan atau seupama dengannya di dunia.

Bagi saya Sukan Sea sudah berkembang pesat dan berjaya mencapai objektif serantau iaitu meningkatkan tahap atlit untuk bersaing di peringkat Asia, Dunia dan Olimpik. Deretan 
juara dunia & Olimpik bakal beraksi di Temasya ini, selain daripada atlit yang mempunyai ranking dunia dan juga ranking di peringkat Asia. Peningkatan atlit Asia Tenggara kini begitu mendadak dan menunjukkan peningkatan. 

Ini terbukti apabila rantau Asia Tenggara meraih sejumlah 18 pingat iaitu lima emas, 10 perak dan tiga gangsa pada Temasya Sukan Olimpik 2016. Perenang sensasi Singapura Joseph Schooling 
meraih emas dalam 100 meter kuak kupu-kupu serta penembak Vietnam Hoang Xuan Vinh yang meraih emas pertama negaranya di Sukan Olimpik dalam acara 10 meter air pistol bakal turun 
beraksi di Kuala Lumpur.

Negara kita, Malaysia juga tidak terkecuali. Malaysia bakal menampilkan empat juara dunia iaitu Azizulhasni Awang (berbasikal), Cheong Jun Hoong (Terjun) serta dua pesilat Al-Juferi Jamari dan Siti Rahmah Nasir. Selain itu Malaysia juga akan menampilkan dua atlit paralimpik yang meraih emas di Sukan Olimpik Rio dan juga juara dunia acara Olahraga Para 2017 iaitu Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli. 

Kemboja pula akan tampil dengan ratu sukan tempurnya, Sorn Seavmey yang meraih emas pada usia 19 tahun pada Sukan Asia 2014 di Incheon. Negara Asia Tenggara meraih sejumlah 31 pingat emas daripada keseluruhan  184 pingat yang diraih di Incheon dengan sembilan daripada 11 negara Asia Tenggara meraih sekurang-kurangnya satu pingat. Ia keputusan yang cukup 
memberangsangkan.

Dan kita tidak boleh menolak hakikat bahawa Sukan Sea secara langsung atau tidak langsung menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi serta tahap sukan di setiap negara  Asia Tenggara yang bertanding. 

Natijahnya, Sukan Sea bukan lagi temasya yang kecil. Tidak dinafikan ada beberapa kelemahan yang perlu penambahbaikkan tetapi sekurang-kurangnya kelibat juara-juara dunia dan atlit 
terbaik Asia Tenggara mampu menjulang Temasya ini ke tahap yang lebih tinggi.

Advertisement

Must Watch Video