Skip to main content

Rencana

Sukan Asia: Program Podium jadi tumpuan

program-podium.jpg
Kontinjen Malaysia berjumlah hampir 421 atlet kini sedikit demi sedikit berangkat ke Jakarta- Palembang untuk beraksi di Sukan Asia ke-18 yang bakal bermula seminggu dari sekarang.

Kontinjen Malaysia diletakkan sasaran dengan tujuh pingat emas. Dan menurut YB Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kontinjen Malaysia juga mampu untuk meraih sehingga 11 pingat emas dalam kemungkinan menamatkan temasya ini dalam kelompok 10 terbaik Rantau Asia.

Mungkin ramai beranggapan sasaran tujuh emas adalah kecil jika dibandingkan dengan sejumlah 421 atlet negara ke Jakarta / Palembang. Seharusnya diletakkan sasaran yang lebih tinggi. Dari satu pandangan saya bersetuju bahawa 7 adalah sasaran kecil jika dibandingan dengan jumlah atlet. Tetapi pada masa yang sama kita juga perlu sedar bahawa daripada sejumlah atlet negara itu, lebih 241 atlet adalah dalam ketegori B iaitu atlet yang gagal melepasi syarat kelayakan.

Justeru, bagi atlet dalam kategori A, mereka harus memastikan mampu merealisasikan impian mencapai sasaran yang ditetapkan. Bagi saya sasaran paling penting ialah mencapai objektif  Program Podium iaitu untuk berada dalam kelompok 10 terbaik negara Asia dari segi pungutan pingat di temasya itu nanti.

Program Podium yang dilancarkan pada 2016 menyediakan satu program latihan atlet elit yang khusus dan bersistematik dalam usaha mencapai sasaran utama pingat emas di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. Sebelum sampai ke temasya itu, Podium turut menetapkan objektif kelompok 10 terbaik di Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Dengan kegagalan mencapai objektif di Sukan Komanwel 2018, program podium kini menjadi tumpuan peminat sukan tanahair. Dengan nilai pelaburan yang cukup tinggi, sudah pasti atlet dalam program ini wajib memberikan pulangan setimpal.

Atlet atlet dari program podium terdiri daripada sukan badminton, berbasikal, menembak, terjun, renang, memanah, sepak takraw, hoki, gimrama, pelayaran, olahraga, boling tenpin, skuasy, wusyu, karate-do serta pencak silat perlu mencapai tahap dan jangkaan yang sewarjarnya. Ia bagi kelangsungan serta menyelamatkan program podium. Seandainya gagal, sudah pasti akan wujud kesan yang mendalam terutama sekali dalam perencanaan menuju ke Sukan Olimpik 2020.

Justeru atlet-atlet seperti Azizulhasni Awang, Pandelela Rinong, Datuk Nicol David. Shalin Zulkifli serta rakan-rakan atlet lain dalam program podium ini akan menjadi tumpuan. Diharapkan mereka tidak akan terlalu dibebani dengan harapan menggunung ini.

Selamat Berjuang Malaysia!
 

Advertisement

Must Watch Video