Skip to main content

Rencana

STL boleh ON ke?

75210263_1406302456219279_5712508332783173632_o.jpg
Bercakap mengenai Liga Sepak takraw (STL) pastinya ramai menanti penuh debaran samada edisi 2020 bakal diadakan ataupun tidak.

Berdasarkan perkembangan pendemik Covid-19 pastinya sukar dijangka keadaan masa akan datang, terutamanya di Malaysia. 

Ketika saya menulis artikel ini, laporan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 8 Mei 2020, jumlah kes baharu 68 orang, kes sembuh sebanyak 88 orang dan tiada kes kematian, sekaligus menjadikan kadar kesembuhan meningkat kepada 74.43 peratus iaitu bersamaan dengan 4 864 orang.

Jika melihat situasi ini, ia semakin baik tetapi peperangan berdepan Covid-19 belum lagi selesai. Sebagaimana kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, KKM masih belum memasuki fasa ‘Exit Strategy’ dan kita masih perlu mengawal dan tanggungjawab utama pastinya terletak di bahu rakyat.

Berbalik kepada status STL, apa yang dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Seri Haji Ahmad Ismail pada Rabu lalu dalam segmen ‘PM bersama AM’ bersama saya di Radio Arena ialah PSM sememangnya komited terhadap penganjuran edisi. Segalanya juga bergantung kepada status jangkitan dan PSM akan sentiasa akan mendapatkan perkembangan dari KKM melalui Kementerian Belia dan Sukan. 

Tambahnya lagi, setelah garis panduan yang dikeluarkan KBS berkait aktiviti sukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sepak takraw adalah antara aktiviti yang dibenarkan kerana tergolong di dalam sukan tanpa sentuhan(non-contact sport) dan ia memberikan keyakinan buat PSM bahawa STL boleh diadakan. Malah, kalender STL juga fleksibel, yang mana ia boleh diadakan pada bila-bila masa. Sebagai contoh, sekiranya perancangan asal STL bakal diadakan pada pertengahan Ogos, tetapi ia boleh dianjakkan ke September atau lebih lewat bergantung kepada kelulusan pihak berwajib. Selain itu, tempoh penganjuran juga boleh diubah mengikut kesesuaian.

Baiklah, kita ambil kira jika STL mendapat lampu hijau, saya yakin penganjuran perlu mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang lebih ketat antaranya kemungkinan ia diadakan tanpa penonton. Mungkin sukar buat peminat yang saban tahun setia hadir di setiap vanue, tetapi ia lebih baik demi langah keselamatan. 

Jika ini berlaku, maka penonton boleh saksikan secara langsung di Saluran Astro Arena.

Apa-apa pun kita nantikan pengumuman dari PSM dan anda perlu sentiasa ikuti perkembangan di semua platform Astro Arena.

Akhir kalam, ayuh kita doakan agar virus Covid-19 segera dihapuskan dan sama-sama memikul tanggungjawab agar keadaan segera kembali pulih.

 

Advertisement

Must Watch Video