Skip to main content

Rencana

'Steady' Farizal!

farizal.jpg
Pertemuan perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 menyaksikan banyak ramalan rakyat Malaysia meleset. 

Di saat seluruh rakyat Malaysia percaya akan kemampuan Harimau Malaya untuk membaham pasukan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, pasukan negara dipaksa menempuh laluan yang penuh berliku.

Kehilangan tiga tonggak pertahanan utama negara ternyata menguji Tan Cheng Hoe dalam memilih  senarai pemain sedia ada untuk dinamakan dalam kesebelasan utama.

Aidil Zafuan Abd Radzak, Syahmi Safari dan Syazwan Andik Ishak terpaksa disisihkan akibat kecederaan dan penggantungan dan kekosongan itu diisi Irfan Zakaria, Nazrul Naim dan juga Amirul Azhan. 

Dihukum dengan dua gol Vietnam ternyata menyentap semangat pemain dan juga ekor Harimau Malaya yang berada di stadium. 

Siapa sangka Malaysia ketinggalan dua gol dan di saat Harimau Malaya perlu segera mengurangkan defisit gol dengan melakukan serangan bertali arus, Dayang mahu memberikan pujian kepada penjaga gol negara, Farizal Marlias.

Jika tidak kerana kekentalan Farizal selaku benteng terakhir yang berjaya mematahkan serangan balas pantas Vietnam di depan gawang, mungkin skuad negara dibolosi lebih daripada dua gol. 

Jentera serangan Vietnam Dayang lihat begitu mudah menembusi pertahanan Malaysia dengan hanya melakukan hantaran satu dua ataupun dengan satu hantaran jauh. 

Ketika jentera tengah dan serangan Malaysia dalam usaha mendapatkan gol, pemain Vietnam dilihat bijak mematahkan serangan dan dengan segera cuba melakukan serangan balas.

Hanya selepas kemasukan Adam Nor Azlin yang masuk menggantikan Nazrul Naim yang tercedera, langkah itu dilihat membantu pemain seperti Shahrul Saad dan Irfan Zakaria untuk lebih tenang dalam mengawal barisan pertahanan.

Kecemerlangan Farizal ternyata berbaloi apabila Malaysia berjaya mengikat perlawanan dengan keputusan seri hasil gol sumbangan Shahrul Saad dan Safawi Rasid.

Biarpun gagal mencatatkan kemenangan, keputusan seri pada Dayang adalah tidak mengecewakan dan sekurang-kurangnya kita tidak tewas kepada Vietnam. 

Masih ada sinar harapan buat Harimau Malaya untuk kembali bangkit dalam perlawanan akhir timbal balik di Hanoi pada 15 Disember ini. 

Dayang berharap agar Farizal Marlias mampu untuk beraksi dengan cemerlang dan berjaya mengekang gawang gol daripada dibolosi pihak lawan nanti.

 

Advertisement

Must Watch Video