Skip to main content

Rencana

Stadium Sultan Ibrahim kebanggaan negeri Johor

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

stadium.jpg
Perasmian Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada 22 Februari lalu terus membolehkan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah setahap lagi ke depan berbanding pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia.

Biarpun stadium ini hanya mempunyai kapasiti buat 40,000 penonton, ia mempunyai rekaan moden serta dilengkapi kemudahan seperti media tribune, surau, bilik persalinan pemain yang lengkap, kedai cenderahati dan ibu pejabat baru pengurusan JDT.

Syabas buat pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengilhamkan sendiri idea pembinaan stadium ini.

Sebelum ini, pembinaan stadium ditangguhkan beberapa bulan susulan pelarasan yang dibuat Tunku Ismail berkenaan lokasi stadium, aspek teknikal dan reka bentuk.

Stadium Sultan Ibrahim juga adalah sebahagian daripada Bandar Sukan JDT yang turut menempatkan padang ragbi, gelanggang tenis, pusat membeli-belah serta beberapa fasiliti sukan moden.

Lebih menarik, stadium ini siap sebelum penganjuran temasya SUKMA 2020 di mana negeri Johor adalah tuan rumah.

Ternyata stadium ini akan menjadi antara mercu tanda kebanggaan rakyat Johor serta peminat setia JDT.

Aksi Piala Sumbangsih antara JDT dan juara Piala FA musim lalu, Kedah pada 28 Februari ini bakal menjadi aksi kompetitif pertama di Stadium Sultan Ibrahim.

Dengan adanya stadium ini, ia akan menggantikan Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin sebagai gelanggang laman sendiri JDT di Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Manakala Stadium Larkin pula menjadi gelanggang buat JDTII dalam saingan Liga Perdana.

Penulis berharap kejayaan dan kemampuan JDT mempunyai stadium bertaraf dunia akan mampu dicontohi pasukan lain.

Ketika ini, terdapat pasukan seperti Selangor dan juga Terengganu FC yang berusaha meningkatkan prasarana kemudahan di pusat latihan masing-masing bagi memastikan mereka tidak terus ditinggalkan JDT.

Ia adalah usaha yang baik dari dua pasukan itu dan mungkin dalam masa beberapa tahun, dua pasukan itu pula mencontohi JDT dengan pembinaan stadium baru yang lebih canggih dan moden.

Kredit: Johor Southern Tigers

Advertisement

Must Watch Video