Skip to main content

Rencana

Sos tomato dalam resipi kejayaan Lampard

ketchup-cover.jpg
Antonio Conte mengharamkannya ketika mengemudi Chelsea bergelar juara Liga Perdana Inggeris 2016/17 dan juara Piala FA 2017/18 tapi kembalinya Frank Lampard ke Stamford Bridge membawa bersamanya resipi kejayaan berbeza yang turut mengandungi sos tomato.

Harus ia menghairankan kerana Conte, yang datang dari Itali yang terkenal dengan piza keju dan spageti sos tomatonya, mengharamkan perisa makanan itu kerana enggan pemainnya mengambil gula dan lemak berlebihan.

Pemain-pemainnya dikejutkan sekembalinya daripada satu jelajah pra-musim pada Ogos 2016 apabila mendapati pelbagai jenis sos dikeluarkan daripada kantin di padang latihan mereka di Cobham, tidak terkecuali semua minuman bergas.

Pengurus berbangsa Itali itu berpegang kuat kepada kepercayaan bahawa pemakanan yang baik harus menjadi sebahagian daripada rejim latihannya, lantas mengharamkan apa jua makanan yang dianggap tidak berfaedah buat pemain di samping tidak lagi membenarkan tradisi menyajikan piza selepas selesai sesuatu perlawanan.

Namun, ia bukan pun pelik kerana Pep Guardiola lebih dahulu mengharamkannya dalam memulakan musim pertamanya membimbing Manchester City pada tahun yang sama – malah dia turut mewujudkan sebuah kem khas buat pemain yang dirasakannya terlebih berat untuk memalukan dan mendera mereka.

Tanpa sos tomato, The Blues tampil juara EPL pada musim pertama Conte di kerusi panas pengurus – bersandarkan himpunan 93 mata, tujuh mata mengatasi Tottenham Hotspur di tangga kedua.

Penggantinya, Maurizio Sarri, yang sekadar melekat semusim di Stamford Bridge, membenarkan sos tomato semula yang menyaksikan The Blues mara sehingga menjuarai Liga Europa musim lalu.



Lantas, pelantikan Lampard dengan kontrak tiga tahun, Khamis lalu, dinanti-nantikan pemain dengan keresahan berkaitan pantang-larangnya tapi keputusan pengurus baru itu – sebagaimana diumumkan dalam sidang media pertamanya -- ternyata melegakan.

Melahaplah sebanyak manapun sos tomato, kata Lampard – yang menghabiskan 13 tahun sebagai pemain di Chelsea di antara 2001–2014 -- asalkan pemain-pemainnya mempamerkan permainan agresif dan bertenaga bermula musim baru nanti.

Chelsea akan membuka kempen dengan berkunjung ke gelanggang Manchester United pada 11 Ogos depan, disusuli aksi sulung selaku tuan rumah kepada Leicester City genap seminggu berikutnya.

Lampard, kini 41 tahun, telah mengharungi tempoh yang panjang dalam bola sepak peringkat tertinggi untuk memahami apa yang harus diharapkannya daripada pemain-pemainnya di sebalik melihat sos tomato bukanlah ramuan penggagal matlamat.

“Tidak harus ada sebarang alasan. Untuk mencapai prestasi terbaik, pemain hendaklah mengamalkan gaya hidup yang betul. Mereka hendaklah berlatih dengan keras dan berehat sebaik-baiknya kerana jika tidak, ia akan dapat dilihat.

“Ia bukan berkisar kepada sos tomato, saya tidak melarang pengambilannya. Mereka (pemain) masih boleh pulang ke rumah dan menghabiskan sebotol sos itu kerana saya tidak akan tahu,” katanya dalam siding akhbar pertamanya itu Khamis lalu.

Lampard menyambung dengan amaran: “Saya seorang pengurus yang berpegang kepada sesuatu kepercayaan. Jika saya melihat kemerosotan seseorang pemain (gara-gara pemakanan yang tidak baik) ketika di padang latihan, saya akan bersikap tegas terhadap perkara itu.”

“Saya mahukan sebuah pasukan agresif dan bertenaga, dengan keberanian ketika bola berada di kaki serta menggerakkan bola dengan cepat.

“Saya melihat kepada Manchester City dan Liverpool, sesetengah prestasi dan kelajuan mereka adalah kelajuan yang saya tuntut dalam pasukan saya.”

Ia bukan pun berkaitan sos tomato tapi membenarkannya sekadar satu cara Lampard untuk memenangi hati pemain-pemainnya.

Nasi lemak, roti canai dan teh tarik buat pemain-pemain Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe?

Advertisement

Must Watch Video