Skip to main content

Rencana

Sokongan padu untuk Malaysia

101216-skuad-pembangunan-hoki-negara.jpg
Saya dan rakan wartawan tergamam melihat pintu gol Skuad Pembangunan Hoki Negara bolos tujuh gol ketika tewas, 2-7 kepada Belanda pada aksi pembukaan Piala Dunia Remaja 2016.

Bagaimana keyakinan pengendali negara, Wallace Tan sebelum berangkat ke Lucknow, India berbekal latihan hanya seminggu apabila Malaysia tiba-tiba dijemput menggantikan Pakistan.

Perancangan menewaskan Mesir dan mengejutkan Belanda atau Belgium dalam Kumpulan B untuk ke suku akhir kian samar.

Tetapi, saya bangga melihat sekumpulan pemuda Malaysia berjuang bermati-matian di Stadium Hoki Major Dhyan Chand, mengejar bola yang dikawal Belanda hingga berjaya meraih dua gol.

Lebih bangga apabila peminat tempatan dan pemerhati hoki antarabangsa beri tepukan gemuruh apabila Malaysia berjaya menjaringkan gol.

"Mereka sangat berani, tidak putus asa dalam perlawanan ini. Ia semangat yang wajar dipuji apatah lagi perjalanan mereka masih jauh di peringkat antarabangsa. Saya ucapkan selamat berjaya untuk Malaysia," kata seorang peminat hoki India.

Ia mengingatkan saya kepada suasana Sukan Olimpik Rio 2016.
Walaupun atlit negara gagal bawa pulang pingat emas, namun semangat juang hingga raih 4 perak dan 1 gangsa menyaksikan mereka dijulang sebagai wira.

Ketika itu, ia bukan soal pingat atau kemenangan tetapi bagaimana perjuangan mereka jadi inspirasi kepada 30 juta rakyat Malaysia.

Skuad Pembangunan Hoki Negara, tiada apa yang perlu dikesalkan.

Walaupun dibelasah atau gagal capai sasaran ke suku akhir, apa yang penting anda antara 16 pasukan peringkat usia bawah 21 tahun yang berjaya menjejakkan kaki ke Piala Dunia Remaja.

Berapa ribu pemain yang mengimpikan pentas ini?

Selepas misi Lucknow tamat, saya yakin mereka akan lebih matang dan berharap beberapa pemain meneruskan kesinambungan mewakili skuad senior kebangsaan.

Mereka harapan hoki negara, masa depan The Malaysian Hockey Tigers.

Teruskan perjuangan kerana misi utama bukan Lucknow tetapi pengembaraan 10 tahun lagi pada masa hadapan.
 

Advertisement

Must Watch Video