Skip to main content

Rencana

Skuasy penyelamat Malaysia

skuasymalaysia.jpg
Emas ketujuh Sukan Asia dihadiahkan oleh pasukan skuasy lelaki negara.

Ketua pasukan Mohd Nafiizwan Adnan, Ng Eain Yow, Ivan Yuen dan Mohd Syafiq Kamal menjadi penyelamat kontinjen Malaysia apabila sasaran tujuh emas tercapai. 

Setelah tiga kali mencuba, pasukan skuasy lelaki negara akhirnya menjelmakan emas selepas akur di tangga kedua kepada Pakistan di edisi 2010 dan kemudian India, empat tahun lalu. 

Kontinjen Malaysia kembali ke tanahair dengan tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa. Bagaimanapun misi berada di kedudukan ke-10 terbaik dalam pungutan pingat keseluruhan gagal tercapai, menyaksikan kuasa besar sukan dunia China mendominasi 44 negara Asia yang lain dengan 132 pingat emas. 

Pasukan skuasy bukan sahaja muncul hero menyelamat air muka Malaysia tetapi penyelamat kepada pasukan wanita yang terkandas mengejut kepada India di separuh akhir. 

Pemenang pingat emas acara individu, Datuk Nicol Ann David gagal bertahan dalam lima set tewas kepada Joshna Chinappa manakala Low Wee Wern yang baru kembali beraksi selepas berehat 20 bulan akibat kecederaan lutut bukan lawan Dipika Pallikal juga isteri kepada selebriti kriket India, Dinesh Karthik.

Pasukan skuasy lelaki kali ini mengambil alih tumpuan dari skuad wanita.  

Selama ini, skuad wanita diberi lebih fokus apatah lagi dengan kemunculan ratu skuasy negara mahupun dunia, Nicol yang rangkul pingat emas individu sejak edisi Sukan Asia 1998 sehingga 2018 kecuali pada 2002 dikejutkan oleh pemain Hong Kong, Rebecca Chiu. 

Pasukan wanita pula tidak pernah tergugat dengan kemenangan dua edisi berturut-turut bermula edisi 2010. 

Seperti pandangan wartawan Nadi Arena, Dayne Azmin, pasukan skuasy lelaki negara yang kurang diberi harapan berbanding final hoki lelaki muncul penyelamat Malaysia.

Tahniah pasukan skuasy lelaki juga kontinjen Malaysia. 

Terima kasih dan selamat kembali ke tanahair. 


 

Advertisement

Must Watch Video