Skip to main content

Rencana

Skuad terbaik Harimau Malaya?

harimau-malaysia-250517.jpg
11 JDT, 5 Kedah, 4 Pahang, 3 Perak, 2 Selangor dan 1 PKNS FC. Barisan pemain skuad bola sepak kebangsaan yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM pada Rabu mengundang pelbagai reaksi oleh peminat.

Rata-ratanya tidak berpuas hati apabila empat pemain yang bersara turut berada dalam senarai 26 pemain skuad negara untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan, 13 Jun ini.

Tatkala kritikan terhadap Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal sudah dijangka, pemilihan dua pemain senior Safee Sali dan Amri Yahya pula dipandang sinis.

Safee dan Amri dikatakan tidak layak mewakili skuad negara kerana faktor usia dan antara lain mereka berpendapat peluang tersebut harus diberikan kepada pemain lain terutama pemain muda untuk pendedahan.

Namun, persoalannya kalau bukan mereka, siapa lagi? 

Penulis ajukan persoalan ini kepada rakan penulis - bekas pemain kebangsaan yang kini dilabel 'pakar' bola sepak tanahair. Beliau juga tidak mampu menamakan pemain lain untuk mewakili negara.

Berdasarkan pemerhatian penulis, pemilihan kali ini adalah berdasarkan pengalaman luas di peringkat antarabangsa dan prestasi semasa seseorang pemain.

Memandangkan skuad negara mempunyai tempoh singkat untuk persediaan menentang Lubnan, mungkin barisan kejurulatihan skuad negara perlu mempertaruhkan kelibat pemain-pemain berpengalaman ini.

Pemain yang menyerlah dalam kancah bola sepak tempatan belum tentu menjamin aksi terpuji di pentas antarabangsa tetapi Ahmad Syamim Yahya, Wan Zaharul Nizam Zakaria dan Akram Mahinan tampak mampu menjelmakan aksi terbaik masing-masing.

Ini merupakan panggilan sulung oleh jurulatih baru skuad kebangsaan, Nelo Vingada yang turut mengadakan sidang media pertamanya di ibu negara semalam.

Mungkin, ada penambahbaikan terhadap pemilihan seterusnya tetapi jurulatih berusia 64 tahun dari Portugal itu perlu memastikan keputusan positif pada ujian sulungnya untuk memadam segala kritikan terhadap Harimau Malaya!

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video