RENCANA
Skuad Projek 2017 Perlu Kerja Keras
Melihat aksi pada saingan Nations Cup yang berlangsung hujung minggu lalu, pasti ramai yang kurang yakin akan kemampuan dan keupayaan skuad bimbingan Frank Bernhardt untuk merangkul emas Sukan Sea 2017.
Hal itu ditambah pula dengan kenyataan pengendali dari Jerman itu yang merasakan masih banyak usaha perlu dilakukan jika Malaysia mahu menyaingi negara seperti Thailand di Sukan sea nanti.
Jika dilihat secara keseluruhan, Malaysia menewaskan Singapura 3-0 pada perlawanan pertama, namun ramai peminat bola sepak tanah air percaya bahawa Malaysia sepatutnya mampu menang dengan keputusan lebih besar jika para pemain berjaya memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.
Iklan
Banyak peluang-peluang keemasan dilepaskan selain kesilapan ala budak sekolah yang sepatutnya tidak berlaku apabila mewakili skuad kebangsaan.
Skrip berbeza pada perlawanan final menentang Thailand apabila pemain-pemain negara terpaksa berhempas-pulas menahan asakan dan serangan pasukan Gajah Putih itu.
Biarpun berjaya menyamakan kedudukan 1–1, namun berpunca dari satu lagi kesilapan ala budak sekolah, benteng Malaysia dihukum dengan gol kemenangan pasukan Thailand yang sekaligus menobatkan mereka selaku juara edisi sulung Nations Cup ini.
Secara keseluruhan, barisan pemain bawah 21 tahun negara dilihat mempunyai potensi besar untuk maju ke hadapan,dan Frank Bernhardt perlu segera mencari ramuan yang paling berkesan bagi mewujudkan keserasian kepada pemain muda negara sebelum bermulanya temasya Sukan Sea 2017.
Barang diingat bahawa kita juga perlu sentiasa berhati-hati dengan keupayaan negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan juga Filipina yang turut dilihat mempunyai keupayaan merangkul emas bola sepak di Kuala Lumpur nanti.
Must-Watch Video