Skip to main content

Rencana

Skuad olahraga Malaysia beri amaran kepada negara ASEAN.

zaidatul-husniah-300517_1.jpg
Impian Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA yang bermula 19 Ogos ini untuk menjadi juara keseluruhan seperti tahun 2001 di Kuala Lumpur mula menampakkan tanda positif.

Rayzam Shah Wan Sofian menjadi atlet terbaru memecahkan rekod kebangsaan 
acara 110 meter berpagar di Kejohanan Kurpfalz Gala, di Jerman.

Atlet berusia 29 tahun dari Sabah itu mencatat 13.67 saat, sekaligus memadam rekod 23 tahun yang dipegang Nur Herman Majid.

Rayzam yang merangkul emas di Sukan SEA 2007 Korat dan perak di edisi lalu merupakan atlet pilihan untuk menewaskan pelari ASEAN yang lain di Sukan SEA KL nanti.

Dalam temasya sebelum ini di Singapura, 28 atlet olahraga negara berjaya mencapai 3 pingat emas, 2 perak dan 9 gangsa.

Namun harapan tinggi diletakkan di bahu skuad negara kali ini kerana prestasi menakjubkan telah dicatat oleh prospek utama, antaranya Zaidatul Husniah Zulkifli yang memecah rekod kebangsaan 24 tahun G.Shanti dalam acara 100 meter wanita,  Mac lalu.

Atlet tinggi lampai, Nauraj Singh juga tidak kurang hebat apabila layak ke Kejohanan Dunia di London Ogos ini setelah memecah rekod lamanya dengan catatan 2.30 meter dalam acara lompat tinggi di Terbuka Singapura. Dia dijangka akan berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan SEA edisi ke 29 Ogos ini.

Lebih luar biasa, 3 rekod kebangsaan dipecah dalam jangka masa seminggu oleh atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsudin.

Irfan memecahkan rekod lama miliknya 59.29 meter apabila mencatat 61.10m di Kejohanan Hallesch Werfertage di Halle, Jerman pada 21 Mei lalu sebelum memperbaharuinya kepada 61.56m di Turnov, Republik Czech sebelum sekali lagi melakukannya di Austria, dengan jarak 62.55m.

16 tahun lalu di Sukan SEA KL, skuad olahraga berjaya membutirkan 8 pingat emas, 5 perak dan 9 gangsa. 

Kali ini Sukan SEA 2017 KL, harapan menggunung untuk skuad olahraga yang telah menunjukkan keupayaan mereka setelah berkali-kali rekod kebangsaan dipecahkan bagi memastikan Malaysia sekali lagi menjadi juara keseluruhan.


 

Advertisement

Must Watch Video