Skip to main content

Rencana

Skuad hoki negara kekal jaguh

30817hokimalaysia.jpg
Skuad hoki lelaki negara membutirkan pingat emas kedua acara hoki padang apabila dengan mudah menewaskan Myanmar 14 – 0 dalam final Sukan SEA 2017 di Stadium Hoki Nasional, semalam.

Sebelum itu, skuad hoki wanita kita membenam Thailand  2-0 untuk memenangi pingat emas.

Dalam perlawanan pusingan round robin, Malaysia menewaskan Myanmar 6-0. Ketika itu, jelas kegembiraan di wajah pemain pemain Myanmar sebaik tamat perlawanan kerana misi mereka dalam perlawanan itu adalah untuk tidak kalah kepada Malaysia lebih daripada sembilan gol. Mereka memintas Singapura dengan hanya perbezaan jaringan yang lebih baik.

Sejarah sudah mereka cipta kerana buat pertama kalinya menang pingat perak dalam sejarah penyertaan mereka dalam acara hoki lelaki. Pencapaian terbaik mereka sebelum ini hanyalah pingat gangsa pada edisi 2013 dan 2015.

Senario perlawanan begitu berlainan bagi Myanmar walaupun berbekalkan pengalaman sudah bertemu dengan pasukan negara sebelum ini masih tidak mampu mengekang kehebatan pasukan negara. 

Pasukan negara mendahului 3-0 dalam suku pertama sebelum perlawanan dihentikan seketika lebih kurang 30 minit akibat cuaca yang tidak mengizinkan. 
Hujan masih turun renyai-renyai ketika suku kedua bermula, dengan padang yang masih ditakungi air menyukarkan pasukan negara bermain "fast hockey" seperti biasa tapi masih mampu menjaringkan dua gol. Sepatutnya situasi ini diambil oleh Myanmar untuk tidak membenarkan kubu mereka dibolosi.

Dalam suku ketiga, hanya satu gol berjaya dijaringkan menjadikan kedudukan  6-0. Dalam suku keempat, Myanmar seperti tidak lagi mampu untuk mengekalkan displin bertahan apabila lapan gol berjaya dijaringkan oleh pemain pemain negara. 
Lapan pemain berbeza berjaya mencatat nama mereka sebagai penjaring. Shahril Saabah dan Razie Rahim mencipta hatrik, Nik Aiman (2 gol), Rashid Baharom, Meor Azuan Hassan, Nabil Fiqri, Azri Hassan masing masing satu gol dan Faizal Saari menjaringkan dua gol, menjadikan dia sebagai penjaring terbanyak dengan 12 gol dalam acara hoki lelaki temasya ke-29 ini.

Begitu jelas Myanmar ataupun mana-mana pasukan di Asia Tenggara bukanlah tandingan Malaysia. Malaysia yang telah layak ke Piala Dunia selaku pasukan di ranking ke-12 dunia ketika ini bak langit dan bumi. 
Apabila berhadapan dengan Malaysia, di dalam kotak fikiran mereka hanya memikirkan bagaimana tidak tewas dengan jaringan yang banyak.

Seperti memetik kata-kata jurulatih pasukan negara: "Menggunakan Sukan SEA ini untuk mencuba beberapa set play, ada yang menjadi ada yang tidak."
Beliau juga menyatakan ini medan untuk memberi peluang kepada Hafizudfin Othman, penjaga gol kedua negara, untuk beraksi. 
Ini kerana beliau sedar platfom platfom sebeginilah harus digunakan untuk menguji apa yang perlu diuji dalam mempersiapkan pasukan negara untuk menghadapi Piala Asia yang akan diadakan di Dhaka, Bangladesh, Oktober depan, seterusnya ke Piala Dunia 2018 nanti.

Impian Hoki Malaysia lebih besar, iaitu untuk cuba memperbaiki ranking  dari  12 ke "top 10" dunia. 

Kepada negara-negara Asean lain, saya jangkakan mereka harus menunggu lebih lama lagi jika mereka mempunyai angan-angan untuk memenangi emas Sukan SEA di masa masa akan datang kerana Malaysia berada jauh di hadapan dan saya tidak melihat hoki Malaysia akan berhenti meningkat di sini.

Secara keseluruhan, kita telah pun mencapai sasaran 111 pingat emas. Dijangkakan lebih daripada 140 pingat emas akan dimenangi oleh kontinjen negara pada hari terakhir ini bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai juara keseluruhan Sukan SEA edisi ke-29 ini.

Kejayaan gemilang ini juga adalah hadiah paling istimewa kepada negara kita yang akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-60 tepat jam 12.01 tengah malam ini.

Tahniah kepada kontinjen negara dan Selamat Hari Kemerdekaan kepada semua rakyat Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video