Skip to main content

Rencana

Skuad "baru" sepak takraw Malaysia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

21817sepaktakrawdoubles_1-(1).jpg
Sama seperti senario bola sepak tempatan, perkembangan sepak takraw sering menjadi tumpuan peminat khususnya di laman Facebook Astro Arena. Tenang, kerana skuad kebangsaan kali ini punyai cabaran terakhir untuk musim 2017, Piala Raja Thai kali ke-32 yang akan berlangsung di Bangkok. Thailand.

Kali ini Malaysia akan terbang ke Bangkok tanpa perejam utama, Azlan Alias yang beraksi cemerlang bersama Penang Black Panthers. Turut sama keciciran, Khairol Zaman Hamid Akhbar. Ini bermakna Malaysia menaruhkan sandaran terhadap 4 lagi perejam, Afifudin Razali, Hafizi Abd Razak, Hanafiah Dollah dan Kamal Ishak. 

Ketiadaan perejam terbaik STL 2017, Fadzil Mustafa juga menghadirkan tanda tanya namun sebagai jurulatih kebangsaan, Abdul Talib Ahmad sudahpun menghubungi Fadzil untuk mendapatkan khidmatnya. Fadzil dikhabarkan menolak kerana masih belum yakin dengan kemampuannya untuk beraksi di peringkat lebih kompetitif, merujuk kepada kecederaan yang dialami seminggu sebelum berlangsungnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Fadzil terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika membonceng motosikal selepas pulang dari jamuan Hari Raya Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Dalam pada itu, kejutan juga apabila Zulkifli Abd Razak, tekong Terengganu Turtles kembali dalam radar skuad kebangsaan selepas tersisih selama 4 tahun. Kali terakhir dia bersama skuad kebangsaan adalah pada tahun 2013.

Sebenarnya PSM sudah pun menyenaraikan 30 pemain dalam kem kebangsaan, namun untuk cabaran di Bangkok nanti, barisan kejurulatihan ambil keputusan menggunakan khidmat 12 pemain yang dirasakan mampu beri komitmen tinggi dan sudahpun melaporkan diri bersama kem kebangsaan.

Selebihnya masih lagi terikat dengan tuntutan majikan di negeri masing-masing, tidak kurang ada yang baru hendak melaporkan diri bertugas bersama agensi-agensi kerajaan. Atas dasar kekangan tersebut, maka sebagai peminat sepak takraw, mahu atau tidak, harus kita akui ini sahaja barisan yang ada untuk berentap dengan Thailand.

Walaubagaimanapun jangan kita mudah melatah,meskipun Thailand dikhabarkan menyenaraikan barisan pemain yang sama ketika Sukan SEA yang lalu, diketuai perejam terbaik dunia, Pornchai Kaokew, apa sahaja mungkin berlaku ketika hari pertandingan. Yang paling utama, skuad negara mahu menebus kembali maruah yang tercalar ketika beraksi laman sendiri.

Advertisement

Must Watch Video